Sebahagian penghuni membuat pendaftaran sebelum menerima suntikan vaksin Covid-19 di Surau Al-Mustaqim, Pangsapuri Mentari Court, Petaling Jaya pada 5 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Populasi penduduk Selangor tinggi punca peratus terima vaksin rendah

PETALING JAYA, 5 JULAI: Jumlah kepadatan penduduk yang tinggi menyebabkan Selangor mencatat penerimaan dos vaksin tercorot, kata Dato’ Menteri Besar.

Dari segi jumlah, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai sejuta penduduk di negeri ini selesai menerima suntikan dos pertama vaksin.

“Jika diukur dari jumlah Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur telah mencapai lebih sejuta lengkap terima vaksin dos pertama. Namun, kerana kepadatan kita tinggi, peratus menjadi rendah.

“Angka diukur dengan kadar penduduk dan tidak ditunjuk kadar dewasa. Jika dikira kadar dewasa, kita telah lama mencapai 10 peratus untuk dos pertama dan sekarang capai 27 peratus,” katanya selepas membuat lawatan program pemberian vaksin kepada penduduk Pangsapuri Mentari Court PJS 8 di sini, hari ini.

Menurut Amirudin, sehingga minggu lalu sejumlah 53,000 vaksin telah selesai diberikan kepada rakyat.

“Dengan adanya Program Vaksin Selangor (Selvax) kita akan mencapai 135,000 jumlah individu divaksin seperti dinyatakan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin.

“Kita juga sedang perlihat bagaimana tambahan program Selvax dan tambahan dos vaksin untuk JKNS (Jabatan Kesihatan Negeri Selangor) agar program vaksin di negeri ini boleh dipercepatkan,” katanya.


Pengarang :