Pengusaha pusat cucian kenderaan, Ahmad Humini Alias mencuci kereta pelanggan selepas kerajaan membenarkan perniagaan tersebut beroperasi semula di Legacy Carwash, Shah Alam pada 17 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemilik lega pusat cuci kenderaan operasi semula, pelanggan serbu sejurus dibuka

SHAH ALAM, 19 OGOS: Pemilik sebuah pusat cuci kenderaan menarik nafas lega selepas kerajaan mengumumkan kebenaran 11 sektor ekonomi beroperasi semula Isnin lalu.

Ahmad Humini Alias, 42, berkata kedainya di Jalan Kebun di sini diserbu pelanggan sebaik sahaja mula dibuka jam 10 pagi kelmarin.

“Alhamdulillah sejak semalam pelanggan tidak putus-putus datang untuk mencuci kenderaan mereka dari pagi sehingga petang.

“Tetapi saya mencadangkan kerajaan untuk memperhalusi semula keputusan berhubung individu yang lengkap dos sahaja boleh hadir untuk mencuci kenderaan,” katanya.

Beliau menjelaskan hal itu kerana masih ramai yang menunggu untuk divaksin malahan beliau juga menyediakan tatacara operasi piawai (SOP) tambahan kepada pelanggan yang datang ke kedainya sebagai langkah berjaga-jaga.

“Setakat ini SOP tambahan saya cuma menggalakkan pelanggan untuk duduk di dalam kenderaan dan kami hanya mencuci bahagian luar…tindakan ini untuk memastikan tiada perebakan wabak Covid-19,” katanya.

Ahmad Humini juga berharap kerajaan tidak lagi menutup sektor ekonomi yang mana ia amat memberi kesan kepada usahawan sepertinya.

“Sepanjang kedai ditutup saya terpaksa mencari alternatif dengan membuat kerja sampingan mencuci bahagian dalaman kenderaan kepada mana-mana pelanggan yang menempah,” katanya.

Kerajaan bersetuju membenarkan semua aktiviti tidak perlu (non-essential) dalam sektor perdagangan dan pengedaran kembali beroperasi bermula 16 Ogos di negeri Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara.

Sektor berkenaan antaranya kedai cuci kereta, kedai elektrik dan elektronik, kedai barangan kemas, kedai barangan rumah dan peralatan dapur, kedai perabot, kedai peralatan sukan, kedai pakaian, fesyen dan aksesori serta kedai gunting rambut.


Pengarang :