Mangsa banjir menerima Bantuan Selangor Bangkit di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Lombong, Seksyen 29, Shah Alam pada 6 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

DNS lulus belanja tambahan, antaranya untuk tampung bantuan banjir

SHAH ALAM, 18 MAC: Dewan Negeri Selangor (DNS) meluluskan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan Tambahan 2022 selepas bacaan kali ketiga, hari ini.

Rang undang-undang itu diluluskan selepas mendapat sokongan sebulat suara Ahli Dewan Negeri (ADN) ketika sesi pengundian dijalankan.

Dato’ Menteri Besar berkata tambahan itu diperlukan berpandukan kepada keperluan kewangan semasa di mana terdapat kekurangan bagi jabatan tertentu.

“Sehubungan itu enakmen pembekalan tambahan yang pertama sebanyak RM160 juta adalah diperlukan bagi menampung kekurangan tersebut.

“Peruntukan tambahan yang diperlukan adalah seperti berikut iaitu sebanyak RM150 juta diperlukan bagi menampung perbelanjaan inisiatif Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dan RM10 juta diperlukan bagi menampung syiling Kumpulan Wang Pinjaman Perumahan Negeri Selangor,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata demikian pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Beliau menjelaskan tujuan peruntukan tambahan itu bukan dibuat sesuka hati sebaliknya sebahagian besar iaitu RM150 juta untuk menampung usaha membantu mangsa banjir.

“Dari kiraan kita seramai 118,000 keluarga telah kita selesaikan, kita ada lagi 8,000 keluarga jadi maksimum penerima BSB 124,000. Namun kita sedia peruntukan sehingga 150,000 kerana ada kemungkinan yang tertinggal.

“Menjelang 31 Mac ini kita boleh selesaikan tetapi kita percaya mungkin ada tambahan kerana jumlah penduduk yang tinggi, kita faham di pusat khidmat ada aduan yang tak dapat dan sebagainya jadi kita bagi masa,” katanya.

Bagi tambahan RM10 juta untuk Kumpulan Wang Pinjaman Perumahan Negeri Selangor, Amirudin berkata ia adalah untuk pinjaman perumahan untuk penjawat awam di Selangor memiliki rumah yang selesa.


Pengarang :