Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, M Janagarajan bercakap kepada media pada Majlis Lelongan Awam JPJ Negeri Terengganu di Kuala Terengganu pada 30 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lelong kenderaan sita, JPJ kutip RM5.9 juta

KUALA TERENGGANU, 30 MEI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengutip RM5.9 juta hasil lelongan awam melibatkan 636 kenderaan sita di seluruh negara tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) JPJ M Janagarajan berkata proses lelongan awam yang dilakukan adalah sangat telus dan memuaskan hati semua pihak terutama pembida kerana mengikut tatacara yang ditetapkan.

“Proses lelongan di JPJ negeri adalah sangat bagus dengan kehadiran wakil pemerhati dari Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan proses lelongan awam di JPJ Terengganu di sini, hari ini.

Sesi Lelongan Awam JPJ Terengganu Siri 1/2022 hari ini melibatkan 137 pembida dan 80 kenderaan pelbagai jenis dengan RM1.25 juta berjaya dikutip.

Sementara itu, Pengarah JPJ negeri Zulkarnain Yasin berkata daripada 80 kenderaan itu, 59 adalah kenderaan klon, 13 motosikal, kereta (empat), lori kecil (tiga) dan satu kenderaan pick up.

Katanya sebuah kereta jenis Honda Integra mencatat nilai bidaan tertinggi iaitu RM44,000, manakala nilai bidaan terendah iaitu RM50 melibatkan sebuah motosikal.

– BERNAMA


Pengarang :