Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) antara yang akan diperkenalkan dalam Karnival Jelajah Selangor Penyayang daerah Hulu Langat pada 19 Jun 2022. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB ajak hadir program bantuan rakyat Ahad ini, tawar banyak insentif menarik

SHAH ALAM, 15 JUN: Dato’ Menteri Besar mempelawa orang ramai menghadiri Jelajah Selangor Penyayang daerah Hulu Langat pada 19 Jun ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan jelajah yang diadakan di padang Taman Kosas, Ampang bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang, menyediakan pelbagai program khusus untuk rakyat negeri ini.

“Jangan lepaskan peluang mengetahui program-program Kerajaan Negeri khusus untuk rakyat Selangor. Insya-Allah saya turut akan bersama anda di sana,” katanya menerusi Facebook.

Program itu bertujuan mempromosi pelbagai inisiatif kebajikan rakyat yang disertai 23 anak syarikat Kerajaan Negeri.

Pelaksanaan Iltizam Selangor Penyayang membabitkan peruntukan RM350 juta ini menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai penduduk memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.

Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.

Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.

Jelajah itu turut dijadual diadakan di Kuala Langat, Kuala Selangor, Petaling dan Gombak.

Selain maklumat inisiatif, program tersebut turut diserikan pelbagai acara antaranya senamrobik, pertandingan memasak, gubahan bunga, sukan rakyat, papan selaju dan e-sukan.


Pengarang :