Petugas kesihatan mengambil sampel darah peserta program Selangor Saring di Hotel Grand Sabak, Sabak Bernam pada 28 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB ajak mohon sertai saringan kesihatan percuma menerusi SELangkah

SHAH ALAM, 3 JUN: Dato’ Menteri Besar mengingatkan orang ramai supaya membuat pemohonan menyertai saringan kesihatan percuma menerusi aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah)

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan program Selangor Saring yang bermula sejak 22 Mei akan diteruskan esok di DUN Hulu Bernam, diikuti Sekinchan pada Ahad.

“Minggu ini di Hulu Bernam dan Sekinchan, saringan kesihatan diberi percuma kepada rakyat Selangor mengesan awal penyakit jantung, buah pinggang, kanser dan lain-lain. Segera mohon di aplikasi SELangkah,” katanya di Facebook hari ini.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

Program bermula 22 Mei hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.

Inisiatif itu bertujuan menyaring pelbagai penyakit yang dibahagikan kepada tiga kategori. Kategori A merangkumi penyakit tidak berjangkit seperti jantung, darah tinggi, kencing manis dan buah pinggang.

Kategori B melibatkan saringan bagi mengesan barah seperti kolorektal, prostat, serviks dan payudara manakala Kategori C membabitkan penyakit berkaitan mata iaitu rabu, glaucoma dan retina.

 


Pengarang :