Sky Mirror di Kuala Selangor antara tarikan pelancong tempatan dan luar negara. Foto arkib SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri belanja RM6 juta promosi destinasi, tumpu agro dan ekopelancongan

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Selangor memberi tumpuan kepada ekopelancongan dan agro pelancongan bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata terdapat banyak lokasi pelancongan sedemikian tidak diketahui ramai dan pastinya pelancong ingin melihat Selangor yang dikenali sebagai bandar besar dari sisi berbeza.

“Kita ada kawasan hutan, sungai, air terjun, perkampungan kelip-kelip dan sky mirror bagi ekopelancongan, manakala agro pelancongan kita ada beberapa tempat di Sekinchan dan Sepang.

“Sebanyak RM6 juta diperuntukkan bagi tujuan promosi pelancongan di mana ia bukan promosi dalam negara malah promosi juga dilakukan di luar negara,” katanya, hari ini.

Beliau ditemui selepas melancarkan pertandingan fotografi menggunakan telefon di Wisma Chinese Chamber, Jalan Ampang di sini, hari ini.

Bagi memastikan kawasan berkenaan berada dalam keadaan baik, Loy Sian memaklumkan sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan bagi membaik pulih infrastruktur kawasan pelancongan.

“Kita juga mengharapkan bantuan dari pihak berkuasa tempatan (PBT), geran dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan Tourism Malaysia untuk sama-sama membaik pulih infrastruktur sedia ada.

“Dalam tempoh dua tahun tanpa aktiviti pelancongan banyak kerosakan berlaku jadi ia memerlukan kos yang tinggi untuk baik pulih,” katanya.


Pengarang :