Sanggaumang dan isterinya Masni anak Rimau menyertai Platform Selangor (PLATS) bagi meluaskan lagi rangkaian perniagaan mereka secara digital pada program ‘Walkabout’ PLATS ke Pasar Budaya Borneo Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Seri Kembangan, Subang Jaya pada 20 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pasar Budaya Borneo jadi hab pelancongan, tarik pengunjung ke Selangor

SUBANG JAYA, 21 OGOS: Pasar Budaya Borneo di Seri Kembangan dan Bangi Golf Resort berpotensi menjadi hab pelancongan sekali gus menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.

Pengerusinya Nelson Entap berkata bagaimanapun pihaknya memerlukan sokongan pelbagai pihak terutama dalam menyediakan infrastruktur demi kemudahan pelancong.

“Pengunjung semakin ramai dan lokasi ketika ini tidak dapat menampung kapasiti besar. Jadi kita perlukan kawasan lebih luas selain ada dewan berhampiran untuk menjalankan aktiviti kebudayaan.

“Bila kemudahan lengkap, pasar boleh dibuka dengan lebih kerap. Mungkin tiga hari seminggu berbanding sekarang hanya pada Sabtu,” katanya kepada SelangorKini.

Nelson berkata dua pasar berkenaan melibatkan lebih 70 peniaga yang menjual pelbagai produk termasuk makanan tradisi dari Sabah dan Sarawak.

“Peniaga turut menjual pakaian tradisi serta kraftangan dari dua negeri ini. Langkah ini juga membantu penduduk Semenanjung kenal budaya Sabah, Sarawak,” katanya.

Terdahulu Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad menghadiri program ‘walkabout’ pasar berkenaan.

Masdiana yang juga isteri Dato’ Menteri Besar turut menyerahkan tawaran Platform Selangor (PLATS) kepada 54 peniaga pasar .

Selain itu, semua peniaga berkenaan turut menerima manfaat Data Internet Selangor bagi memudahkan urusan ketika menggunakan platform berkenaan.

 


Pengarang :