Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek menyerahkan sumbangan kepada veteran sempena Majlis Sambutan Kemerdekaan MBI bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Selangor di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 22 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Persatuan veteran tentera hargai usaha MBI, ringan beban ahli kurang upaya

SHAH ALAM, 22 OGOS: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Selangor menghargai usaha Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI untuk membantu persatuan serta meringankan beban ahlinya.

Mohd Din Husnin

Yang Dipertuanya Mohd Din Husnin berharap lebih banyak pihak korporat, syarikat dan individu berpengaruh mencontohi usaha MBI untuk menjaga kebajikan veteran tentera.

“Kita mempunyai 15,000 ahli dengan 400 daripadanya tergolong kurang upaya dan memerlukan bantuan untuk kelangsungan hidup.

“Kita harap syarikat besar lain dapat contohi MBI dengan membantu veteran untuk manfaat kepada ahli yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya kepada SelangorKini.

Kapten (B) Joraymi Jamaludin, 53 mengakui tersentuh dengan usaha MBI membawa veteran tentera untuk bersama-sama menyambut bulan kemerdekaan.

“Suasana di sini menyebabkan saya bersemangat sebab itu tadi saya menyanyi, bersorak dan pada masa yang sama turut sebak mengenangkan rakan-rakan seperjuangan yang telah meninggal dunia.

“Saya datang tadi ingat program penuh protokol tetapi sebaliknya ia memberi satu semangat yang lama saya rindukan. Ini semangat yang bukan suka-suka dibuat, terasa seperti masih berkhidmat dalam tentera,” katanya.

Bagi Yahya Maarof, 87, pesara askar Melayu itu berkata selepas hampir 40 tahun bersara, ini kali pertama beliau dirai dalam majlis.

Yahya Maarof

“Saya seronok kerana ketika dalam askar hingga bersara belum pernah dirai macam ini. Dahulu, askar seperti kami hanya keluar masuk hutan.

“Sejak 1986 hingga sekarang inilah kali pertama dirai. Jadi saya betul-betul seronok kerana bersama-sama rakan lain menyemarak semangat merdeka. Semoga lebih banyak pihak tampil menjaga kebajikan veteran tentera yang hidup susah,” katanya.

Mereka ditemui selepas Majlis Sambutan Kemerdekaan MBI bersama Veteran ATM Selangor di Bangunan Darul Ehsan di sini, hari ini.

Pada majlis itu MBI menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada Persatuan Veteran ATM Selangor dan RM500 kepada 10 veteran yang hadir.


Pengarang :