Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Pengenalan Calon Parlimen HARAPAN Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 2 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dasar prorakyat di Selangor dilaksana HARAPAN jika menang Putrajaya

SHAH ALAM, 3 NOV: Dasar dan polisi Selangor akan diamal Pakatan Harapan (HARAPAN) jika berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan Persekutuan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi HARAPAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif diperkenal Kerajaan Negeri berjaya memanfaatkan rakyat seperti Skim Mesra Usia Emas, Rumah Idaman, Rumah Selangorku Harapan, Skim Insurans Am Selangor (Insan).

“Bila sebut tentang perumahan selesa, di Selangor kita telah buktikan model dan dasar kita. Saya percaya kalau ada masa cukup satu penggal (mentadbir Putrajaya), dasar perumahan untuk anak muda serta seluruh rakyat Malaysia jauh lebih baik.

“Begitu juga perlindungan skim insurans percuma (Insan) yang menjaga seluruh rakyat Selangor. Saya percaya tiada benda percuma di mana-mana wilayah atau negara Asia boleh buat program seperti itu.

“Insya-Allah, lambat laun kita boleh laksanakan,” katanya dalam ucapan sempena majlis pengenalan 22 calon Parlimen HARAPAN Selangor di Dewan Raja Muda Musa di sini malam tadi.

Dalam pada itu, calon kerusi Parlimen Gombak berkata PRU kali ini peluang untuk gabungan berkenaan memulihkan semula maruah selain menstabilkan negara.

“Jadi bermula 5 hingga 19 November, kita semua ada tanggungjawab untuk kembalikan maruah negara. Kita harus tadbir negara bukan dengan bergantung kepada pengkhianat dan perompak.

“PRU kali ini kita bukan sahaja tolak 2P (perompak dan pengkhianat) kerana mereka membawa ketidakstabilan kepada negara. (Maka) HARAPAN akan bawa kestabilan itu,” katanya.


Pengarang :