Pemain Uruguay Luis Suarez dan Matias Vecino selepas perlawanan menentang Ghana di Stadium Al Janoub, Al Wakrah, Qatar pada 2 Disember 2022, jelas kecewa selepas tersingkir daripada Piala Dunia 2022. Foto REUTERS
AGENDASUKANKINI

Piala Dunia: Uruguay tersingkir walau tewaskan Ghana

ANKARA, 3 DIS: Meskipun berjaya menundukkan Ghana 2-0, Uruguay terpaksa berputih mata apabila tersingkir daripada Piala Dunia.

Perbezaan jumlah jaringan dengan Korea Selatan menyaksikan Uruguay sekadar menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan H, lapor Agensi Anadolu.

Ghana berjaya menghalang Uruguay yang memerlukan satu lagi gol untuk membuka peluang melangkah ke pusingan seterusnya.

Uruguay menjaringkan dua gol dalam peringkat kumpulan manakala Korea Selatan empat jaringan.

Ghana mempunyai peluang menjaringkan gol pada minit ke-21 malangnya sepakan penalti Andre Ayew berjaya diselamatkan penjaga gawang Uruguay, Sergio Rochet.

Gol pembukaan untuk Uruguay dihasilkan Giorgian De Arrascaeta pada minit ke-26 menerusi tandukan yang gagal diselamatkan Lawrence Ati Zigi.

De Arrascaeta sekali lagi membolosi gawang lawan enam minit kemudian dengan rembatan kencang kaki kanannya hasil lorongan Luis Suarez.

Uruguay menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga dengan empat mata manakala Ghana mengumpul tiga mata.

– BERNAMA


Pengarang :