Bekas pemain pertahanan Selangor Shamsul Amri Abu Bakar (kiri) mengasak bola bersama pemain Manchester United dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam pada 1995. Foto ARKIB
BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANAWAWANCARA

Bekas pemain Selangor imbau nostalgia ‘rantai’ David Beckham

Oleh Faysal Amani

SHAH ALAM, 14 FEB: Beraksi menentang barisan bintang Manchester United bawah bimbingan Sir Alex Ferguson menjadi kenangan manis yang sukar dilupakan Shamsul Amri Abu Bakar.

Bekas pemain pertahanan Selangor era 1990-an itu diberi peranan penting ‘merantai’ penggempur The Red Devils seperti Brian McClair, Lee Sharp, Paul Scholes serta bintang muda pada masa itu, David Beckham dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam pada 1995.

Baru berusia 20 tahun ketika itu, Shamsul Amri mengakui bertuah apabila diberi kepercayaan oleh jurulatih, mendiang Ken Worden beraksi dalam perlawanan persahabatan kedua menentang kelab ternama England itu.

Kunjungan ke Malaysia 28 tahun lalu itu menyaksikan Manchester United berdepan Pilihan Selangor dua kali di Stadium Shah Alam.

Kali pertama skuad diketuai pertahanan kental Steve Bruce itu menang 4-1, manakala aksi kedua berkesudahan Manchester United menang 2-0.

Bekas pemain pertahanan Selangor Shamsul Amri Abu Bakar (kiri) mengasak bola bersama pemain Manchester United Paul Scholes dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam pada 1995. Foto ARKIB

Shamsul Amri yang kini aktif dalam pembangunan bola sepak akar umbi menganggap aksi berdepan Manchester United menjadi titik tolak dalam kariernya bersama skuad Merah Kuning.

Stadium keramat

Stadium Shah Alam menyimpan banyak nostalgia kerana di situlah Shamsul Amri memulakan karier sebagai pemain bola sepak.

“Di stadium keramat ini juga saya memenangi Piala Malaysia tiga kali berturut-turut dari 1995 sehingga 1997.

“Saya diberi peluang beraksi di depan puluhan ribu penyokong di Stadium Shah Alam menentang bintang-bintang dunia dari Manchester United.

“Mana mungkin saya dapat lupakan detik manis menentang Manchester United. Gambar saya mengekang Paul Scholes dan Roy Keane sehingga kini tersimpan rapi sebagai kenangan,” katanya ketika ditemui Selangorkini, baru-baru ini.

Justeru, Shamsul Amri atau mesra disapa sebagai ‘Ancoi’ mengakui keadaan Stadium Shah Alam yang sekian lama usang merobek hatinya.

“Banyak kenangan pahit manis saya lalui di Stadium Shah Alam. Semuanya terpahat dalam ingatan. Sebab itu sedih lihat keadaan stadium itu sekarang,” kata pemain yang membuat 20 penampilan bersama skuad kebangsaan.

Reka bentuk Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dipamerkan sempena Hari Jersi Selangor dan Pameran Awam Pembangunan KSSA di SACC Mall, Shah Alam pada 28 Januari 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Namun, beliau gembira dengan usaha Kerajaan Selangor untuk membangunkan semula Kompleks Sukan Shah Alam yang turut meliputi stadium tersebut, bahkan teruja menyaksikan pelannya yang serba canggih.
Shamsul Amri mengakui stadium itu wajar dibina baharu, sesuai peredaran zaman serta lebih mudah diuruskan termasuk aspek penyelenggaraan.

“Kita diberitahu kapasiti stadium baharu itu lebih kecil. Saya teruja melihat pelan stadium yang canggih. Cuma saya berharap stadium baharu itu kekalkan ciri-ciri sedia ada bagi memastikan aura stadium lama terus kelihatan.

“Ia juga akan mengingatkan generasi akan datang tentang Stadium Shah Alam yang penuh bersejarah,” katanya lagi.

Beliau juga berharap stadium baharu kelak kembali menjadi ‘rumah Selangor FC’ seterusnya mengembalikan semula kegemilangan Red Giants selaku pasukan yang digeruni seperti zaman 1990-an.


Pengarang :