Oleh Diana Abd Wahab
SHAH ALAM, 30 MEI: Sebuah kilang di Bukit Kapar dikompaun kerana premis penginapan pekerjanya kotor dan tidak diuruskan dengan baik pada Khamis lalu.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Noraini Roslan berkata operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Pelabuhan Klang.
“Operasi ini bertujuan memastikan tempat penginapan atau asrama pekerja disediakan majikan mematuhi akta, peraturan serta garis panduan ditetapkan,” katanya dalam mesyuarat penuh bulanan MPK hari ini.
Noraini berkata enam kertas siasatan di bawah kesalahan Akta Standard Minimum Penginapan Pekerja (Akta 446) dan Akta Pekerja 1955 turut dikeluarkan dalam operasi berkenaan.
“Saya harap operasi ini diadakan secara sekurang-kurangnya tiga kali setahun,” katanya.