Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) bersama Menteri Sumber Asli Nik Nazmi Nik Ahmad (dua, kiri) mendengar taklimat daripada pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah (kiri) pada majlis pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau di Tapak Projek Loji Rawatan Air Sungai Rasau, Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat pada 30 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

LRA Sungai Rasau paling maju di Asia Tenggara, mampu bekal air bersih 1,400 JLH

KUALA LANGAT, 30 MEI: Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau menjadi loji paling besar dan termaju di Asia Tenggara dengan kemampuan menghasilkan bekalan air bersih sebanyak 1,400 juta liter sehari (JLH).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek jangka panjang itu berupaya meningkatkan margin rizab air terutamanya untuk pengguna di wilayah Klang, Petaling dan Kuala Langat.

“Fasa pertama menelan belanja RM3.4 bilion dan fasa kedua pula RM2.4 bilion. LRA Sungai Rasau akan menjadi loji rawatan air paling besar operasi dengan kadar keupayaan lebih 1,400 JLH sekali gus paling maju di Malaysia dan Asia Tenggara.

“Pembinaan memerlukan perbelanjaan besar kerana terpaksa melaksanakan proses bukan sahaja pembinaan, teknologi moden seperti ozon tetapi juga pengambilan tanah dengan kos yang tinggi,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bersama Menteri Sumber Asli Nik Nazmi Nik Ahmad (dua,kiri) , EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim (kiri),Speaker Dewan Negeri Selangor  Ng Suee Lim (dua,kanan) dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah (kanan) melakukan gimik  menyempurnakan majlis pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau di Tapak Projek Loji Rawatan Air Sungai Rasau, Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat pada 30 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

Terdahulu Amirudin menyempurnakan majlis pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau di Kampung Seri Cheeding, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Asli Nik Nazmi Nik Ahmad, EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam Ir Izham Hashim dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Ir Abas Abdullah.

Dibina di Kampung Seri Cheeding di sini, projek bawah Skim Bekalan Air Rasau fasa pertama yang dijangka siap pada 2025 berupaya menghasilkan 700 JLH bekalan air.

Sementara fasa kedua projek berkenaan yang dijangka siap pada 2030 pula berupaya melonjakkan penghasilan air bersih sehingga 1,400 JLH.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bergambar bersama selepas majlis pecah tanah Skim Bekalan Air Rasau di Tapak Projek Loji Rawatan Air Sungai Rasau, Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat pada 30 Mei 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/ SELANGORKINI

Skim Bekalan Air Rasau terdiri daripada komponen sistem perkhidmatan air melibatkan pembinaan LRA Sungai Rasau dan sistem agihan bekalan air.

Di bawah skim itu, loji berkenaan dilengkapi dengan proses pengozonan bagi menjamin mutu kualiti air sentiasa mematuhi piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia.

Skim ini merangkumi sembilan bekas kolam perlombongan bijih timah dengan keluasan 489 hektar yang berfungsi sebagai Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dwifungsi pertama di negara ini dengan keupayaan pembekalan air serta tebatan banjir.


Pengarang :