Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPHS dengan kerjasama KDEBWM membersihkan lokasi pembuangan sampah haram di Jalan Pahang Lama Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 24 Jun 2023. Foto Facebook Majlis Perbandaran Hulu Selangor
PBTSELANGOR

MPHS bersihkan tapak sampah haram, pelaku berdepan tindakan tegas

SHAH ALAM, 27 JUN: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) membersihkan lokasi pembuangan sampah haram di Jalan Pahang Lama Kuala Kubu Bharu pada 7 dan 24 Jun,

MPHS menerusi Facebook memaklumkan operasi dengan kerjasama KDEB Waste Management (KDEBWM) dibuat susulan pihaknya menerima aduan di lokasi berkenaan.

“Sebanyak empat kali kerja pembersihan dijalankan di kawasan ini tetapi tetap dijadikan sebagai kawasan pembuangan sampah haram oleh pihak tidak bertanggunjawab.

“Selepas operasi, MPHS memasang pita kuning dan papan tanda larangan di lokasi ini selain pemantauan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya.

Menurut pihak berkuasa tempatan itu, bahu jalan kawasan tersebut dipenuh timbunan sisa binaan, sampah pukal dan domestik.

MPHS tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada pihak yang didapati membuang sampah secara haram termasuk mengenakan kompaun dan denda.

Sekiranya disabitkan kesalahan denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara dalam tempoh tidak melebihi setahun, atau kedua-duanya sekali termasuk boleh dikompaun dengan jumlah tidak lebih RM1,000.

Orang awam yang melihat perkara itu berlaku diminta melaporkan ke Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) MPHS di talian 03-6064 1050 atau emel ke [email protected]


Pengarang :