Pasukan forensik menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos 2023. Foto ihsan Polis Selangor
AGENDANASIONAL

Bedah siasat selesai Isnin, waris diminta tidak tunggu di unit forensik

KLANG, 18 OGOS: Sebanyak 22 sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) waris diambil untuk diuji Jabatan Kimia bagi padanan terhadap cebisan dan anggota mangsa pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata hampir 200 cebisan daging dan beberapa anggota badan seperti kepala, paha serta kaki memerlukan masa untuk pemadanan dengan waris.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain

“Pertama kali takziah kepada keluarga mangsa. Konsesi Elmina dibuka jam 3 petang ini dan Polis Diraja Malaysia, Bahagian Siasatan Jenayah serta Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) telah pun selesai mengambil semua sisa terjejas.

“Kedua daripada segi ‘post mortem’ dan menguruskan DNA bagi waris-waris, 22 sampel diambil. Bagaimanapun, dari segi ‘human remain’ ada yang tertinggal badan, kepala dan mengikut unit forensik makan masa untuk dapatkan DNA dan mungkin sehingga Isnin.

“Saya dah berjumpa keluarga mangsa dan menasihatkan supaya mereka tidak tunggu di unit forensik sebab pihak kimia telah beritahu paling awal hari Isnin, terlampau banyak untuk padanan.

“Keluarga tidak perlu tunggu sini nanti sakit sebab hujan panas… kita akan beritahu apabila selesai, kita akan uruskan,” katanya dalam sidang media di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang hari ini.

Pasukan keselamatan membersihkan serpihan pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Sungai Buloh, Shah Alam pada 18 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau turut memaklumkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan menguruskan dan memudahkan segala urusan termasuk memandikan serta solat jenazah sejurus proses bedah siasat selesai.

“Pihak jabatan agama akan uruskan dan permudah semua urusan. Habis ‘post mortem’ dan padanan DNA, mandi, solat dan kereta jenazah disediakan, polis akan iring dari sini ke mana-mana, Sungai Petani termasuk Pahang, kebumi di Putrajaya kita uruskan,” katanya.

Dalam kejadian petang semalam, 10 individu disahkan maut dengan enam daripadanya adalah penumpang termasuk EXCO Pahang Dato’ Seri Johari Harun dan dua kru pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1).

Ketika insiden berlaku, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang semalam.


Pengarang :