SHAH ALAM, 16 SEPT: Stesen televisyen digital milik Media Selangor Sdn Bhd (MSSB) menyasar untuk muncul sebagai stesen televisyen percuma ke udara (FTA) berdefinisi tinggi melalui pembabitan dalam aplikasi MYTV Mana Mana.
Ketua Kluster Digitalnya Khairulnizam Bakeri melihat penyertaan SelangorTV dalam perkhidmatan penstriman ‘Over-the-Top’ (OTT) nasional terbesar sejak 1 September sebagai langkah awal merealisasi hasrat tersebut.
“Penyertaan SelangorTV dalam aplikasi ini adalah sebahagian usaha untuk menyampaikan mesej Kerajaan Negeri dengan lebih jelas kepada lebih ramai penonton.
“Kita mengharapkan SelangorTV mampu meluaskan lagi capaian selain membuka peluang muncul salah satu daripada stesen FTA suatu hari nanti selari cita-cita kami,” katanya ditemui pada Karnival MYFESTIVA anjuran MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) hari ini.
Sepanjang karnival berlangsung di pusat beli-belah Aeon Shah Alam di sini, SelangorTV membuka reruai bagi mempromosi penyertaan dalam aplikasi berkenaan kepada umum.
SelangorTV turut menampilkan EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan merangkap wakil rakyat Kota Anggerik Najwan Halimi serta wakil rakyat Batu Tiga Danial Al-Rashid Haron dalam segmen ‘Apa Cer YB’ yang berkongsi peranan digalas di kawasan masing-masing.
Dalam pada itu, Khairulnizam memaklumkan kira-kira 25,000 tontonan direkodkan sejak pembabitkan SelangorTV dalam aplikasi digital berkenaan.
Menyifatkan ia sebagai angka memberangsangkan, beliau berharap kerjasama dengan MYTV berterusan bagi membantu meluaskan jenama stesen televisyen itu.
“Orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi MYTV Mana Mana secara percuma melalui AppStore dan Google PlayStore,” katanya.
Sebelum ini, siaran televisyen Selangor TV yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama boleh ditonton menerusi platform media sosial seperti YouTube, Facebook, Instagram, TikTok dan laman X.
Kini, SelangorTV bersiaran di MYTV Mana Mana bermula 7 pagi hingga 10 malam setiap hari dengan memuatkan pelbagai segmen antaranya termasuklah berita semasa, politik, sukan, gaya hidup, hiburan, agama serta wanita dan keluarga.