Foto Arkib Selangorkini
AGENDAJENAYAH

Pengurus besar GLC rugi lebih RM106,000 ditipu sindiket dalam talian

KUANTAN, 22 OKT: Pengurus besar di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerugian RM106,253 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon atau phone scam, Jumaat lalu.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 45 tahun itu menerima panggilan daripada suspek mendakwa pegawai polis Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC), dan memberitahu bahawa data peribadi mangsa bocor selain bertanyakan mengenai penggunaan kad kredit.

“Sejurus itu, mangsa memberikan maklumat dua akaun bank miliknya dan maklumat kad kredit untuk pengesahan kepada suspek, malah mangsa juga telah mengesahkan kod pengesahan transaksi (TAC) yang diterimanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa mula menyedari ditipu selepas mendapati wang simpanan daripada dua akaun bank miliknya berjumlah RM106,253 telah lesap.

Justeru, beliau berkata mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, Yahaya menasihati orang ramai supaya tidak memberikan butiran peribadi seperti nombor akaun untuk tujuan siasatan secara sewenang-wenangnya.

Menurutnya, orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon dan akaun bank yang mencurigakan menerusi laman sesawang semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi dalam talian.

– BERNAMA


Pengarang :