BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Anwar tokoh pembina negara, bawa Malaysia menuju era gemilang

Tanggal 24 November genaplah setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui negara. Pelbagai pencapaian dan pembaharuan diperkenal sepanjang tempoh tersebut. 

Pengenalan konsep Malaysia Madani, strategi menangani isu ekonomi, kepentingan Islam, hubungan antarabangsa dan usaha memartabat bahasa Melayu antara topik yang dikupas.

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin turut berkongsi perkembangan setahun kepada Pengarang Kumpulan Fathi Aris Omar, Ketua Pengarang Selangorkini Fazallah Pit dan wartawan Norrasyidah Arshad. Wawancara dirakam Ahmad Zakki Jilan

Bahagian kedua wawancara PM perkukuh demokrasi, lindungi institusi raja

Ramai mendapati Datuk Seri Anwar Ibrahim berbeza dengan pentadbir terdahulu. Boleh jelaskan apakah corak dan hala tuju pentadbiran beliau?

Saya fikir dari segi sejarah panjang Anwar itu sendiri menjadikan beliau sangat berbeza dengan perdana menteri sebelum-sebelum ini. Beliau melalui dua zaman. Bermula dengan aktivis hingga kemuncak sebagai pemangku perdana menteri. Kemudian laluan getir dalam politik, kembali semula. Dari satu sisi, beliau menyempurnakan satu kitaran kepimpinan. Ada pemimpin yang ada di atas, kemudian jatuh dan habis. Tapi yang dilalui Anwar, beliau berada di atas kemudian diuji kepimpinan, berada di bawah dan kembali. Jadi, sudah sempurna pengalaman.

Saya mulakan dari bawah sebab ini akan dijadikan panduan untuk melatari keputusan dan tindakan politik yang dibuat. Sebab itu, selepas mengangkat sumpah, perkara pertama yang beliau lakukan pada 19 Disember adalah pergi ke Dewan Rakyat. Menguji keabsahan beliau sebagai perdana menteri. Orang cakap-cakap tidak cukup jumlah, tidak ada sokongan. Baik saya pergi ke Dewan Rakyat. Itulah forum yang sebenar dalam kerangka perlembagaan Malaysia. Alhamdulillah dapat sokongan. Tidak ada pun proses belah bahagi oleh pembangkang.

Ini perkara yang sangat berbeza daripada perdana menteri sebelum-sebelum ini. Sebab itulah kita lihat pada peringkat awal beliau sebut hal ketelusan, meningkatkan maruah negara dan itu sangat fundamental. Lebih kepada kerangka nilai yang ingin disampaikan. Maknanya kita ada banyak pembangunan yang kita nampak tetapi pembangunan dari segi nilai belum dijiwai sepenuhnya dalam jentera pentadbiran kerajaan. Jadi, itu dimulai untuk menyelesaikan perkara asas dalam menguruskan kerajaan.

Walaupun ada keabsahan tetapi ada ura-ura kerajaan ini akan tumbang, dari pilihan raya berlarutan sehingga kini. Sejauh mana ia menggugat kerajaan dan tidakkah ia menjejaskan ekonomi?

Serangan pembangkang tertumpu aspek itu kerana mereka sudah lalui. Mereka lihat dahulu sepanjang pemerintahan lepas, perdana menteri saling bertukar ganti daripada 2018 hingga 2022. Tiga kali pertukaran. Sebab itu, ada semacam motivasi dalam kalangan pembangkang untuk terus memainkan (isu itu) lagi. Tetapi saya lihat dan mengajak rakyat melihat secara objektif. Dalam kerangka mengurus negara ini, bagaimana hendak bentuk kerajaan, ia jelas bahawa mana-manapun perdana menteri di situ, ada institusi Yang di-Pertuan Agong untuk buat keputusan berdasarkan pertimbangan Baginda.

Saya fikir proses dilalui secara sempurna oleh Anwar. Prosesnya, perundingan dengan ahli parlimen, kemudian dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, bersetuju. Kemudian dilantik, angkat sumpah, pergi ke parlimen. Itu tidak berlaku pada sesi-sesi lepas di mana seorang perdana menteri bertukar perdana menteri, beliau pergi ke Dewan Rakyat dan membuat usul untuk percaya atau mendapat sokongan. Itu tidak berlaku pada sesi lepas. Sekarang proses itu telah disempurnakan. Saya fikir atas dasar itu, ahli parlimen Bersatu menyokong perdana menteri.

Mereka dinyanyikan atau dilagu-lagukan akan bertukar perdana menteri, bertukar kerajaan tetapi selepas setahun, tidak berlaku.

Yang penting, mereka fikir kawasan perlukan pembelaan. Pengundi juga mahu pembelaan, sebab itu mereka menyatakan sokongan kepada Anwar.

Maksudnya mereka tiada program lain kecuali jatuhkan kerajaan seperti Langkah Sheraton, bukan lebih baik daripada Pakatan Harapan. Dalam bahasa mudah, pembangkang tidak mampu menawarkan lebih baik?

Saya fikir pembangkang lebih kepada istilah tepu, bankrap idea. Dalam mana-mana demokrasi, kerajaan yang kuat penting.

Pembangkang yang berkesan juga penting kerana itulah natijah daripada proses demokrasi. Ada jadi kerajaan, ada jadi pembangkang.

Pada tahap ini, kita lihat dari segi elemen kepembangkangan tidak berkesan. Kenapa saya katakan tidak berkesan?

Misalnya kalau dahulu, dan rakyat masih ingat, sewaktu pembentangan belanjawan, pasukan Anwar ada belanjawan alternatif dan itu dihidang dalam segala keterbatasan tetapi ia tidak berlaku sekarang.

Yang dilakukan hanyalah mainkan isu agama, raja, bangsa.

Kualiti pembangkang

Dalam setahun ini, mutu perdebatan pembangkang sangat lemah.

Ya, sangat lemah. Kita boleh saksikan sendiri bagaimana watak-watak yang tidak perlu saya sebutkan di sini, ‘try hard’ menjadi pembangkang tetapi dangkal dari segi isu atau perkara yang dibawa.

Sebab itulah dimainkan lagu pertukaran kerajaan, tukar perdana menteri. Kita sudah pergi jauh. Perdana menteri, saya fikir, sudah naik maqam dia.

Bukan perdana menteri Malaysia semata-mata tetapi pemimpin serantau.

Dalam satu dua minggu kebelakangan ini, kita tengok bagaimana beliau memperkasa kepimpinan untuk bercakap isu antarabangsa (Palestin) yang fundamental di depan kuasa besar dunia.

Rakyat Malaysia boleh menilai selama setahun ini.

Dalam waktu yang sangat cepat, perdana menteri cuba untuk pastikan dalam negara stabil, bawa juga isu rantau termasuk berdepan cabaran di Laut China Selatan dan akhirnya membabitkan isu Gaza dan Palestin.

Saya rasa dalam setahun ini perkembangan cukup menarik walaupun kita tahu di luar sana, ada pelbagai pihak cuba menjatuhkan imej perdana menteri.

Bagaimana seharusnya peranan pembangkang? Adakah ada kerjasama? Malah, ada sokongan ahli parlimen pembangkang kepada perdana menteri. Adakah ada perbincangan lanjut untuk angkat martabat pembangkang supaya kompetitif dan bersaing dengan kerajaan?

Perdana menteri bersedia membuat rundingan dengan pembangkang, malah mengarah timbalan perdana menteri kedua jadi ‘person in charge’ atau pemimpin yang boleh memulakan rundingan.

Dalam erti kata memastikan ahli parlimen terutama pembangkang diberi peruntukan sewajarnya untuk membantu pengundi. Apakah ini tidak pernah dilakukan?

Perkara ini pernah dilakukan sewaktu Anwar (masih) ketua pembangkang. Beliau memulakan rundingan dengan mereka yang dilantik kerajaan. Jadi, perdana menteri menggunakan pendekatan sama.

Tetapi kita lihat walaupun jiwa besar perdana menteri, nampaknya dari segi sambutan itu tidak memberangsangkan.

Mungkin mereka berasa ada ruang untuk tukar kerajaan tetapi di sebelah sana, ada tokoh veteran yang lama dalam politik.

Mungkin juga dalam satu sisi, mereka mungkin dalam tahap menyesuaikan diri sebagai pembangkang.

Tetapi saya lihat ada juga yang pertama kali, yang muda-muda terlalu ghairah keluarkan kenyataan hingga menggugat ketenangan negara, malah mengusik negara jiran dengan kenyataan yang pada saya di luar batasan sebagai ahli parlimen.

Anwar dari zaman aktivis, ketua pembangkang cenderung kepada golongan berpendapatan rendah termasuk petani. Ada usaha menoktahkan kemiskinan tegar, subsidi bersasar tetapi adakah ia mampu dicapai?

Sasarannya satu penggal. Malah, untuk menoktahkan kemiskinan tegar secara tuntas harus dicapai pada hujung 2023. Kenapa begitu?

Sebab itu perkara yang sangat memalukan bagi sebuah negara yang dianggap membangun, negara yang maju, yang ada pengurusan ekonomi terbaik tetapi dikesamping atau ada lagi miskin tegar.

Sebab itulah kita lihat pada peringkat awal beliau jadi perdana menteri, itu perkara pertama diumumkan, malah diberi peruntukan.

Maknanya ada komitmen bersungguh-sungguh. Ada agensi, Kementerian Ekonomi yang memantau perkembangan noktahkan kemiskinan tegar.

Saya percaya mungkin selepas ini ada program untuk membantu golongan miskin sebab menerusi temu ramah dengan majalah Time, ada tiga perkara penting yang beliau sebut.

Pertamanya untuk memastikan dari segi ekonomi, bukan sekadar berkembang tetapi juga memberi manfaat kepada rakyat. Adakah itu mudah?

Memang tidak mudah kerana kita berdepan isu legasi tetapi tindakan mesti diambil menjurus kepada ekonomi yang adil.

Sebab itu, beliau bersungguh-sungguh mengatakan orang-orang kaya tidak perlulah subsidi kerana tidak adil untuk golongan tidak kaya (tetapi) bukan bermakna antiorang kaya.

Saya tengok ada kumpulan pembangkang memainkan ‘Oh ini perdana menteri antiorang kaya’. Tidak. Orang kaya diberi peluang perniagaan, peluang memajukan syarikat.

Jadi, tidak perlulah subsidi. Yang kedua dari segi pendidikan. Sebab itu peruntukan sangat fundamental diberi kepada Kementerian Pendidikan.

Diletak seorang tokoh wanita yang punyai latar belakang pendidikan yang baik untuk menjadi pemimpin di sebuah kementerian yang sangat ragam dan rencam untuk mengemudi kementerian ini.

Ketiga, beliau nyatakan sementara kita urus negara dalam keterbatasan, mesti ada kefahaman bahawa negara ini diasaskan dari kepelbagaian kaum.

Pada saya, ketiga-tiga ini tali-tali yang mengikat dasar negara supaya ia bergerak dalam suasana harmoni dan ke depan kerana kita tahu Malaysia ada pelbagai kaum yang harus disantuni, juga kita harus dilihat berlaku adil kepada mereka.

kos sara hidup dan ekonomi dunia

Kos sara hidup sekarang, kalau kita tengok hutang negara sangat besar dan ekonomi dunia tidak stabil. Bagaimana perdana menteri melihat situasi ini dalam kemajuan negara?

Dari segi petanda ekonomi, dari segi fundamental, pelaburan, alhamdulillah meningkat.

Dari segi pendapatan, negara kita pun bertambah baik kerana mereka yang bayar cukai yakin ini kerajaan yang bersih, yang bekerja bersungguh-sungguh untuk laksanakan ekonomi.

Cuma, kita ada cabaran, misalnya mata wang dolar Amerika.

Jadi, adakah itu tidak dibimbangi perdana menteri sebagai menteri kewangan?

Sudah pasti menjadi satu perkara yang difikirkan, bagaimana untuk tangani dan seperti disebut perdana menteri berulang kali dalam Dewan Rakyat, bagusnya negara kita ini dalam keadaan sekarang, adalah fundamental atau teras ekonomi bergerak dengan sangat positif.

Ada cabaran tertentu, tetapi apabila ringgit dengan dolar Amerika bertambah baik baru-baru ini, pembangkang tidak bising pula?

Maknanya, perlu lihat ada turun naik perdagangan nilai mata wang tetapi yang penting bagaimana ekonomi yang sedang dibina sekarang. Kita bercakap tentang ekonomi Malaysia yang diwarisi iaitu berdepan hutang yang sangat signifikan, perlu atau tidak selesaikan masalah hutang?

Perlu, tetapi dalam masa sama jangan kita berusaha untuk menyelesaikan masalah hutang hingga terlupa pengurusan ekonomi untuk membantu rakyat.

Malaysia dan negara lain berdepan isu Covid-19 dan perang Ukraine-Rusia selain perkembangan teknologi maklumat yang luar biasa dan pendigitalan. Dalam hal ini, sepanjang setahun, adakah birokrat pada peringkat kementerian menyedari complexity dunia yang melingkungi ekonomi negara?

Ya, tidak semua pimpinan utama kerajaan (sebelum ini) menganggap bahawa perlu kepada tindakan bersungguh-sungguh untuk memastikan siap siaga berdepan pelbagai cabaran kerana mungkin budaya itu sekian lama berasa bahawa ‘business as usual’.

Namun, apabila kita diasak Covid-19, ada macam kesedaran dan saya percaya dengan komitmen bersungguh-sungguh perdana menteri menyelesaikan pelbagai masalah.

Macam ada keyakinan terutama dalam kakitangan penjawat awam untuk bersama-sama ikut langkah yang tegas, laju dan rajin oleh perdana menteri.

Saya pernah banyak kali sebut Malaysia tidak pernah ada perdana menteri macam Anwar, ‘from prisoner to prime minister’ belum ada.

Jadi, ini perkara penting untuk kita lihat secara objektif. Tentang kesengsaraan rakyat, beliau lebih tahu. Tentang pengkhianatan, beliau lebih tahu.

Jadi, sebab itu ‘he is the well-equipped leader’ dan saya yakin kakitangan awam kanan terutama peringkat KSU (ketua setiausaha) dan segalanya mereka nampak perkara itu.

Dalam usaha tingkatkan pendapatan rakyat, supaya seiring dengan hasrat kerajaan, bagaimana kerajaan mulakan dalam keadaan sekarang ini?

Ya, perdana menteri ada nyatakan baru-baru ini perancangannya ialah untuk mengkaji, mengemuka idea gaji progresif, gaji yang berkembang.

Beliau menyebut dalam DOSM (Jabatan Perangkaan Malaysia), pelaburan meningkat tetapi gaji tidak meningkat, jadi tidak ada elemen ihsan, tidak ada elemen kesejahteraan sesuai dengan pasak Malaysia Madani.

Sebab itu, dicadangkan idea untuk masa akan datang, sewajarnya kita mengambil pendekatan dan sikap untuk menilai semula gaji dengan mengemuka idea gaji progresif iaitu pendapatan atau pelaburan meningkat, pendapatan syarikat meningkat, maka gaji kakitangan juga harus dipertingkat.

Saya percaya dalam program membantu SME (industri kecil sederhana) memang ada dalam belanjawan dan berjaya ditingkatkan. Begitu juga dengan program dari aspek digitalisasi.

Baru-baru ini, perdana menteri ada rasmikan ekspo digital, juga bergerak ke arah itu.

Jadi, saya fikir dari segi ekonomi baharu untuk masa depan itu sudah rancak diperkatakan.

Kalau kita ambil contoh isu Tesla, misalnya mereka komited untuk membuka pejabat di sini. Jadi, ekonomi-ekonomi baharu sedang disusun.

Saya yakin dalam masa setahun dua lagi akan membuahkan hasil dan memberi pendapatan kepada rakyat.

PM ANGKAT ISLAM

Anwar sejak zaman 1970-an memang terkenal dekat dengan pemimpin agama peringkat dunia dan tempatan tetapi sampai sekarang masih ada kritikan mengatakan seolah-olah perdana menteri tidak mengangkat martabat agama.

Yalah, saya fikir kumpulan yang menentang atau yang mengkritik perdana menteri sebenarnya tidak ada idea lain untuk mencacatkan imej perdana menteri.

Apakah perdana menteri ambil pendekatan layan semua?

Saya fikir apa yang beliau lakukan itu seolah-olah tidak terganggu dengan serangan yang dilakukan kumpulan ini.

Misalnya, sekarang kalau kita lihat Seri Perdana, kediaman rasmi, sudah jadi tempat kuliah agama.

Panggil tokoh agama membahaskan. Kerana beliau ingin beritahu rakyat, inilah beliau yang sebenarnya, kegiatan agama itu sendiri dan dari segi aspek Melayu itu sendiri. Pada beliau, tidak cukup dengan bercakap, kita kena buat.

Saya ingin lontarkan kepada mereka yang bercakap-cakap ini, apa yang mereka bangunkan institusi untuk menjayakan agenda atau memperkasa Islam? Ini ada demostrasi depan Istana Kehakiman.

Saya perlu ingatkan, yang mula-mula usahakan adanya pemisahan kedua-dua mahkamah itu (sivil dan syariah) berlaku pada zaman beliau sebagai timbalan perdana menteri iaitu pindaan Artikel 121 (1A) Perlembangan Persekutuan.

Keputusan mahkamah syariah mesti dihormati mahkamah sivil, keputusan mahkamah sivil mesti dihormati mahkamah syariah.

Itu bila? Tahun 1990-an. Almarhum guru saya Profesor Ahmad Ibrahim, pakar undang-undang perlembangan, waktu itu mengusul pindaan Artikel 121 (1A) supaya perlembangan menghormati keputusan mahkamah syariah.

Jadi untuk mereka, kumpulan yang menentang, saya fikir mereka terlupa sejarah, jadi kita harus ingatkan bahawa Islam diukur dari segi amal, dari segi perbuatan, bangunkan ekonomi Islam, bangunkan Bank Islam.

Baru-baru ini, perdana menteri sebut pula, setelah berpuluh-puluh tahun kita bangunkan sistem ekonomi Islam, Bank Islam, kita harus tengok balik, adakah sistem ekonomi Islam Bank Islam menjamin keadilan sebenar untuk rakyat.

Dari segi aspek isu, mempertahan perjuangan Gaza. Saya ingat tidak ada kumpulan sebelah pembangkang yang boleh cabar beliau.

Apa lagi yang ingin kita tunjukkan apabila baru-baru ini perdana menteri sebut sendiri di hadapan Presiden Amerika Syarikat, ‘stop the war’.

Jadi, apa lagi yang mereka ada? Sekadar perli, kritik dan sebagainya.

Sebab itulah saya minta selepas setahun, semua jentera penerangan kerajaan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) harus bersama-sama dalam jihad ini untuk membetulkan perspektif bahawa perdana menteri ingin membawa negara selari hasrat dan aspirasi sebenar syariah yang dibawa Islam.

Saya selalu sebutkan pilihlah Islam ala Anwar atau Islam ala Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang). Saya selalu sebutkan begitu.

Di sebalik pelbagai usaha perdana menteri mengangkat institusi Islam, adakah ia mampu menarik penyokong Melayu yang cenderung memilih pembangkang terutama di empat negeri ketika pilihan raya lalu?

Saya fikir usaha ini mesti berterusan, usaha memberi pendidikan kepada orang-orang Melayu dan pengundi Melayu terutamanya.

Bahawa yang sedang diikhtiarkan perdana menteri dan kabinet adalah daripada aspek membangun suatu dasar yang menyeluruh.

Perubahan itu perlu sedikit demi sedikit. Bukan sifatnya drastik atau yang menyebabkan kita berdepan cabaran lain kemudiannya.

Sebab itu, dalam hal ini, saya setuju bahawa hasil daripada keputusan pilihan raya negeri lepas, kita ada banyak kerja.

Kita berdepan dengan cabaran sosial media seperti TikTok yang melakukan ‘misinformation’ dan ‘disinformation’ (penyelewengan maklumat).

Perdana menteri mengarahkan surat rasmi kepada jabatan kerajaan ditulis dalam bahasa Melayu. Adakah perancangan lain untuk memartabat bahasa Melayu? Apakah ini cara yang boleh menarik kembali pengundi Melayu kepada kerajaan?

Beliau ingin meneruskan apa yang dibawa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dimulakan dengan kerajaan atau surat menyurat kepada kementerian itu kerana kita berasa tidak mungkin bahasa Melayu boleh diperkasa jika syarikat Malaysia sendiri tidak menulis menggunakan bahasa Melayu.

Dalam konteks apa yang cuba dibawa perdana menteri yang dahulu, tidak perlu sampai bersyarah pada peringkat antarabangsa dalam bahasa Melayu.

Di sekolah rendah kita belajar bahasa Inggeris, sekolah menengah pun bahasa Inggeris, tetapi paling tidak dari aspek pemerkasaan bahasa, kita mulai daripada rumah tangga kita.

Hendak berurusan dengan kerajaan, kementerian, kalau syarikat tempatan gunakanlah bahasa Melayu tetapi kalau syarikat antarabangsa itu silakan kerana mereka syarikat luar.

Tetapi saya melihat kepada perkara lebih besar lagi kerana kita kena jadikan bahasa Melayu bahasa ilmu.

Kalau kita tengok perdana menteri baru-baru ini pergi kempen membaca buku untuk memberi contoh dan perdana menteri sendiri seorang pembaca tegar.

Banyak buku beliau ulas dalam ucapan, sampai kadang-kadang dalam kalangan kakitangan tanya perdana menteri ini mahu jadi pensyarah ke perdana menteri? Kerana kupasan beliau tentang buku sangat mengesankan.


Pengarang :