Anggota bomba memindahkan mangsa banjir di Kampung Jirat, Kuala Krai, Kelantan pada 20 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Musim tengkujuh diramal bermula Sabtu ini hingga Mac tahun depan

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Empat hingga enam episod hujan lebat diramal berlaku sepanjang musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada 11 Nov ini dan berterusan sehingga Mac 2024.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata  episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak semasa fasa awal Monsun Timur Laut dari Nov hingga Jan 2024.

“Namun, sekiranya luruan monsun yang berlaku adalah kuat dan pada masa sama wujud sistem cuaca tekanan rendah, hujan lebat berterusan boleh berlaku di negeri-negeri lain di Malaysia.

“Hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem.

“Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora, risiko kenaikan paras laut dan ombak besar di perairan Laut China Selatan,” katanya.

Muhammad Helmi berkata pihaknya menjangkakan utara Semenanjung (Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu), Sabah, Labuan dan utara Sarawak mengalami kurang hujan pada fasa akhir Monsun Timur Laut iaitu Februari hingga Mac 2024.

“Keadaan cuaca panas dan kering yang dijangka bermula Mac 2024 berpotensi menyebabkan berlakunya gelombang haba. Situasi ini berikutan El Nino yang dijangka berterusan sehingga pertengahan 2024 dan Indian Ocean Dipole (IOD) positif pula dijangka sehingga suku pertama tahun 2024,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh serta sentiasa peka dengan maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh METMalaysia.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi MET Malaysia serta talian hotline MET Malaysia di 1-300-22-1638.

— BERNAMA


Pengarang :