BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Zalim Israel kerana nyahkemanusiaan, terbukti dalam eksperimen

Oleh DR Zamir Mohyedin

Sehingga 8 Januari, lebih 22,600 orang Palestin di Gaza terbunuh dalam konflik antara kumpulan jihad Harakatul Muqawwamatul Islamiah (Hamas) dan Israel.

Lebih separuh jumlah kehilangan nyawa itu kanak-kanak dan wanita.

Sejak penubuhan Israel pada 1948, rejim itu melakukan pelbagai kekejaman, penindasan dan pembunuhan ke atas warga Palestin.

Seramai 700,000 orang Palestin dihalau dan kediaman mereka dirampas dalam peristiwa Nakba pada 1948.

Pada 2005, sekatan udara, darat dan air dibuat ke atas Gaza yang membuatkan bantuan makanan dan kesihatan sukar disalurkan.

Ketika Perang Gaza 2014, lebih 2,000 orang Palestin terkorban dan 10,000 cedera.

Pada 2018-2019, orang Palestin di Gaza membuat demonstrasi aman untuk dapatkan hak mereka kembali ke tanah asal dan mengangkat sekatan, tetapi mendapat tindak balas kejam Israel.

Lebih 266 terbunuh, hampir 10,000 cedera, lebih 100 hilang anggota seumur hidup. Kekejaman tentera Israel bukan sesuatu yang asing.

Eksperimen Milgram

Jika kita lihat dalam sejarah perang dunia, banyak pembantaian bangsa pernah dibuat tentera dari negara-negara lain.

Seramai 200,000 orang China dibunuh tentera Jepun pada 1937.

Semasa Jerman menyerang Poland pada 1939, seramai 16,000 orang terbunuh termasuk orang awam.

Tentera Romania pernah membunuh seramai sekitar 100,000 orang pada 1941 dan banyak lagi genosid dilakukan.

Persoalan di sini, mengapa tentera termasuk dari Israel sanggup melakukan kekejaman seperti ini?

Pada 1961, ahli psikologi Stanley Milgram pernah melakukan eksperimen untuk menguji tahap ketaatan seseorang terhadap autoriti.

Milgram menjalankan eksperimen ini selepas tiga bulan bermulanya perbicaraan jenayah perang ke atas pegawai Nazi Jerman Adolf Eichmann di Baitulmaqdis, Palestin.

Persoalan utamanya, “Adakah Eichmann dan berjuta rakan sejenayahnya hanya sekadar menuruti perintah ketika Holocaust?”

Milgram mendapati manusia begitu mudah menuruti arahan sekiranya mereka tidak bertanggungjawab ke atas tindakan mereka.

Ketika tentera Amerika Syarikat melakukan pembunuhan ramai-ramai ke atas penduduk Vietnam tidak bersalah pada 1968, mereka mewajarkan tindakan sebagai sekadar mengikut arahan apabila ditanya kenapa melakukan perbuatan terkutuk itu.

Eksperimen Milgram memaparkan kejadian ketika subjek diingatkan bahawa setiap tindakan mereka berada di bawah tanggungjawab mereka sendiri, hampir kesemuanya tidak mahu mentaati arahan.

Perkara yang menarik, apabila orang yang kurang berautoriti memberikan arahan, tahap kepatuhan akan merudum.

Mungkin subjek menyangka autoritinya tidak cukup tinggi untuk bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku.

Eksperimen Milgram menunjukkan simbol kekuasaan yang mampu memandu kelakuan manusia.

Manusia mudah mengikut arahan daripada orang tinggi kuasanya.

Tidak hairan sebenarnya apabila ramai orang sanggup berbunuhan dalam peperangan walau puncanya adalah pertelingkahan antara penguasa.

Nyahkemanusiaan

Antara faktor lain betapa mudahnya kekejaman dibuat tentera kerana proses nyahkemanusiaan (dehumanization).

Proses yang mana kemanusiaan pada suatu bangsa dicabut melalui pelbagai bentuk propaganda.

Pada 9 Oktober lalu, Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant menggelar orang Palestin sebagai manusia-binatang.

Pada 12 November, Benjamin Netanyahu berkata serangan ke atas Gaza adalah pertempuran antara bangsa bertamadun dengan orang gasar.

Ungkapan ini memberikan petanda bahawa orang Israel menganggap orang Palestin rendah darjatnya, tidak setaraf dengan kesempurnaan manusia.

Pada 1975, Albert Bandura menjalankan eksperimen memaparkan potensi manusia menjadi kejam dan zalim melalui nyahkemanusiaan.

Dalam eksperimen tersebut, sekumpulan penyelia diminta menguruskan sekumpulan pekerja menggunakan renjatan elektrik.

Tugas utama penyelia menentukan tahap renjatan yang perlu dikenakan sekiranya pekerja memberikan jawapan salah.

Sebelum eksperimen dimulakan, Bandura sengaja membiarkan penyelia mendengar perbualannya bersama pembantunya.

Sebahagian penyelia mendengar perbualan itu menggambarkan pekerja sebagai kelompok yang memahami dan jelas daya pemikirannya.

Sebahagian penyelia didengarkan perbualan itu menggambarkan pekerja sebagai kelompok binatang dan rosak.

Menariknya, hasil eksperimen menunjukkan penyelia yang melihat pekerja sebagai kelompok binatang mengenakan tahap renjatan berlipat kali ganda berbanding penyelia yang melihat pekerja sebagai kelompok manusia.

Eksperimen menunjukkan nyahkemanusiaan halus memberikan impak terhadap kelakuan manusia – mencetuskan sifat keganasan dan kekejaman manusia.

Nyahkemanusiaan terhadap kelompok lain menjadikan manusia berupaya melakukan kekejaman, pembunuhan dan kezaliman yang tidak terbayangkan seperti peristiwa The Holocaust ke atas Yahudi, Holodomor ke atas warga Ukraine, penghapusan warga Armenia, penghapusan etnik Circassia, penghapusan etnik Dzungar dan pelbagai lagi penghapusan terancang bermula daripada prejudis dan nyahkemanusiaan terhadap ras dan etnik berbeza.


Pengarang :