Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melawat pameran selepas pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Hotel Wyndham Acmar, Klang pada 5 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Gendang, loceng Dong Son bukti Klang dikenali 2,500 tahun

Oleh FARIDZWAN ABDUL GHAFAR

Wujud sejak zaman logam, Klang antara bandar raya tertua di negara ini. Sejarawan Abdur-Razzaq Lubis dalam buku Sutan Puasa Founder of Kuala Lumpur menyebut ada penempatan Klang sekitar 2,500 tahun dahulu.

Penemuan artifak seperti gendang, loceng Dong Son (foto 3) daripada gangsa dan besi bersoket pada 1905, 1944 dan 1948 membuktikan Klang membangun dan menjalin hubungan dengan bandar lain rantau ini waktu itu.

Menurut pengkaji British Charles Otto Blagden, nama Klang daripada bahasa Mon-Khmer iaitu ‘Klong’ bererti gudang, gambaran bandar itu pelabuhan yang ada banyak gudang.

Ilmuan British Charles Alfred Fisher pula berpendapat ‘Klang’ bermaksud terusan atau jalan air kerana kawasannya banyak jalan air terdiri anak-anak sungai.

Antaranya Sungai Bertek, Sungai Pinang, Sungai Sementa, Sungai Kandis, Sungai Kapar, Sungai Rasau dan lain-lain. Malah, nama semua sungai berkenaan kekal sehingga sekarang.

Catatan sejak 600 tahun lalu memperihalkan Klang wilayah penting kerajaan-kerajaan besar Nusantara.

Kitab Negarakertagama pada abad ke-14 menukilkan Klang jajahan Kerajaan Majapahit ditakluki daripada Kerajaan Srivijaya ketika pemimpin Jawa Patih Gajah Mada mengetuai ekspedisi Pamalayu.

Sejarah Melayu susunan Bendahara Kesultanan Johor-Riau Tun Muhammad atau Tun Seri Lanang menyebut Klang pada zaman pemerintahan Kesultanan Melaka dalam abad ke-15.

Diceritakan Tun Perak menjadi penghulu di Klang pada 1446 selepas keluarganya diketepikan Seri Nara Diraja dalam perebutan kuasa di Istana Melaka, sebelum dipanggil Sultan Muzaffar Shah untuk diangkat sebagai Bendahara Melaka.

Selepas Melaka ditakluk Portugis pada 1511, Klang dikuasai Kesultanan Johor-Riau sehinggalah Kesultanan Selangor diasaskan pada abad ke-18.

Portal rasmi Pejabat Daerah Tanah Klang menyebut bandar itu menjadi sangat penting pada abad ke-19 berikutan berkembangnya aktiviti perlombongan bijih timah di Lembah Klang (foto 1).

Ia menjadi pusat dagangan komoditi tersebut yang dilombong di hulu Sungai Klang. Hasil lumayan itu mendorong pertelagahan antara pembesar Melayu Selangor untuk menguasai Klang.

 

Perang tamat

 

Akibatnya Perang Saudara Selangor atau Perang Klang tercetus antara 1867 hingga 1874, membabitkan Raja Abdullah dan Raja Mahadi, menurut JM Gullick dalam Sejarah Selangor 1766 – 1939.

Raja Mahadi tewas susulan campur tangan menantu Sultan Selangor keempat Sultan Abdul Samad iaitu Tengku Kudin dengan bantuan British.

Sejak itu Klang pulih dan terus membangun. Ia dipilih ibu negeri Selangor setahun selepas perang tamat, sebelum bertukar ke Kuala Lumpur pada 1880.

Pada zaman pemerintahan Sultan Selangor kelima Sultan Alauddin Suleiman Shah, Klang menikmati pembangunan ekonomi moden.

Prasarana moden seperti kereta api diperkenal. Pelabuhan Klang atau dahulu dikenali Port Swettenham dibuka dan kini menjadi antara pelabuhan paling sibuk di dunia.

Pada waktu itu juga, Istana Mahkota Puri (foto 2), kini Istana Alam Shah, dan Masjid Diraja Sultan Suleiman dibina, sekali gus melayakkan Klang berstatus bandar diraja.

Era pascamerdeka menyaksikan Klang terus menikmati limpahan pembangunan meski tiada lagi lombong bijih timah beroperasi di hulu Sungai Klang.

Pentadbiran Kerajaan Negeri masa kini melonjakkan pembangunan Klang ke tahap baharu melalui pelaksanaan Zon Pembangunan Ekonomi Gerbang Maritim Selangor menerusi Rancangan Selangor Pertama menerusi pelaburan dianggar bernilai RM2.2 bilion.

Ia memulih Sungai Klang serta membangunkan kawasan sekitar, sekali gus memacu ekonomi maritim dan pembangunan baharu Selangor.

Bagi pentadbiran lebih cekap, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Belanjawan Selangor 2024 mengumumkan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) Subang Jaya, Shah Alam, Petaling Jaya dan Klang ke dalam Lembah Klang Raya.

Mengambil contoh bandar raya utama dunia, langkah itu menyeragamkan pelesenan PBT dan mematangkan proses perbandaran.

Pada 5 Februari, Klang mencatat sejarah tersendiri apabila diisytihar bandaraya diraja oleh DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Titah Baginda: “Beta bersyukur kerana Klang telah berjaya melalui pelbagai fasa kejayaan dan cabaran sejak zaman penjajahan sehinggalah hari ini yang telah membolehkan rakyat Beta yang tinggal di Klang menikmati pembangunan dan kemajuan yang pesat.

Beta mahu melihat Klang boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat negeri Selangor dan membangun ke tahap yang lebih cemerlang dan dikenali dengan imej bandar raya bersih di samping memiliki daya tarikan warisan bersejarah.”

 


Pengarang :