Aksi beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei ketika separuh akhir Terbuka Switzerland pada 23 Mac 2024. Foto Facebook Badminton Association of Malaysia – BAM
AGENDASUKANKINI

Beregu Tang Jie-Ee Wei, Soon Huat-Shevon tentukan juara Terbuka Switzerland

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Dua beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie bakal bertembung sesama sendiri di final selepas menyingkirkan lawan masing-masing di separuh akhir Terbuka Switzerland 2024, awal pagi tadi.

Pada perlawanan berlangsung di St Jakobshalle di Basel, Tang Jie-Ee Wei selaku beregu ranking kesembilan dunia mudah melangkah ke final apabila meraih kemenangan straight set 21-16 dan 21-12 ke atas beregu Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin.

Kemaraan itu kemudian diteruskan Soon Huat-Shevon ranking ke-14 dunia apabila menewaskan beregu Belanda Robin Tabeling-Selena Piek, 21-18 dan 21-16 dalam tempoh 37 minit dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Ia pertembungan kali ketiga buat kedua-dua pasangan negara itu selepas Terbuka Korea 2023 dan Masters Jepun 2023 dengan masing-masing pernah meraih kemenangan.

Pertemuan final membabitkan kedua-dua pasangan beregu negara itu akan berlangsung malam ini.

— BERNAMA

Aksi beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai ketika separuh akhir Terbuka Switzerland pada 23 Mac 2024. Foto Facebook Badminton Association of Malaysia – BAM

Pengarang :