Anggota bomba dan penyelamat membantu memindahkan mangsa banjir di Taman Saujana Aman, Kuala Selangor dan Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh ke pusat pemindahan sementara selepas kawasan itu dinaiki air pada 16 April 2024. Foto JBPM Selangor
AGENDANASIONAL

403 mangsa terjejas banjir, PPS dibuka di Kuala Selangor, Sungai Buloh

SHAH ALAM, 17 APRIL: Seramai 403 mangsa melibatkan 88 keluarga sekitar Taman Saujana Aman, Kuala Selangor dan Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh terjejas banjir susulan hujan lebat petang semalam.

Penolong pengarah operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor berkata setakat 5.30 pagi tadi, dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka masing-masing di Sekolah Merbau Sempak dan Dewan MPKS Desa Coalfields.

“PPS Merbau Sempak melibatkan 364 mangsa termasuk 27 warga emas, 11 bayi dan tiga orang kelainan upaya (OKU) manakala satu lagi PPS menempatkan 38 mangsa.

“Kita turut membuka pos kawalan hadapan di PPS Sekolah Merbau Sempak bagi memudahkan pergerakan dan penyelarasan operasi,” kata Ahmad Mukhlis Mokhtar.

Situasi banjir di Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh selepas kawasan itu dinaiki air pada 16 April 2024. Foto JBPM Selangor

Beliau berkata sejak petang semalam, pihaknya menggerakkan 40 anggota serta 11 aset termasuk bot bagi menjalankan proses menyelamat serta pemantauan banjir.

“Anggota digerakkan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong, BBP Sungai Buloh, BBP Rawang serta BBP Bestari Jaya,” katanya.

Semalam, Kampung Melayu Subang dan Denai Alam antara kawasan dinaiki air berpunca limpahan sungai berhampiran.


Pengarang :