BUDAYARENCANA

Cara guna otak dengan betul

Oleh Cech Adrea

Otak pernah datang jumpa saya dalam keadaan basah lencun.

Awalnya saya tak berapa dengar loceng rumah kerana bunyi hujan yang kuat melampau. Memang sekarang tengah musim hujan, peralihan nak masuk musim tengkujuh. Bukan itu saja, hujung tahun juga ialah musim depresi untuk semua orang, ekonomi merudum, kerajaan bergolak, gaji potong, suami isteri bergaduh, macam-macam lagi lah.

Ketika dia dalam perjalanan, saya ambil masa untuk kemaskan rumah. Malas la nanti dia tanya macam-macam kalau tengok rumah dalam keadaan bersepah.

Ketika saya buka pintu, saya nampak dia dah lebam-lebam, katanya sebab ketuk pintu terlalu lama. Jadi sebenarnya dia tak tekan loceng pun, patut la saya tak dengar bunyi, bukan sebab hujan. Saya tanya dia kenapa tak tekan loceng, dia diam saja. Mungkin dia ingat saya perlecehkan dia. Loceng rumah saya tinggi, macam mana dia nak tekan. Otak manusia ni cuma kecil je, bahkan katanya secara fakta otak perempuan lagi kecil berbanding lelaki. Perempuan yang dia maksudkan adalah tuan punya otak, buat saya berteka-teki siapa pemilik otak ini sebenarnya.

Dia peluk tubuh, saya tahu dia bengang sebab saya lambat buka pintu. Dia masuk dan saya beri dia tuala untuk keringkan badan.

Sambil dia lap seluruh fizikalnya, dia mula bercakap. Katanya dia datang daripada serpihan jasad ex-girlfriend saya. Itu menjawab soal perempuan yang dia maksudkan tadi. Tapi, setahu saya ex girlfriend saya tu masih hidup dengan otak yang masih ada di dalam kepala. Dia geleng beberapa kali, katanya tubuh ex-girlfriend saya itu sudah ditanam pagi semalam, mati sebab bunuh diri, overdose ubat tidur. Otak sempat lari sebelum kubur ditimbus dan selamat daripada ditanam. Saya respon biasa-biasa saja walaupun sebenarnya saya rasa sedih mendengar berita kematiannya.

Saya tanya kenapa dia datang cari saya. Katanya, memori yang tinggal sudah tak banyak, saya adalah salah satu memori yang masih ada. Walaupun secara fakta, satu-satu otak sepatutnya memiliki 2500 terabyte simpanan memori, tapi ex-girlfriend saya dah banyak buat otaknya jadi rosak. Campur-campur dadah, makanan-makanan merapu macam kelawar, anjing, kucing, itu belum lagi cerita pasal nafsu seks dia yang bertukar-tukar orang Afrika Selatan, itu pun boleh buat otak lemah – Otak jelaskan semuanya.

Lepas berjaya lari daripada pengebumian, otak terus datang ke mari meredah hujan lebat dan kilat sabung-menyabung. Jauh juga perjalanannya, berpeluh-peluh kalau jalan kaki. Pelik juga, otak yang di depan saya ni memiliki tangan dan kaki halus. Walaupun tak ada mata dan mulut, dia boleh melihat dan bercakap.

Berbalik kepada cerita macam mana dia boleh datang ke mari, katanya ada memori kuat tentang saya dalam otak ex-girlfriend saya. Saya tersengih dengan kerutan di dahi, mustahil kalau kata ex-girlfriend  belum move on sebab saya dengar seminggu selepas putus sahaja dia dah keluar dengan lelaki lain, rakan kerja kononnya, siap check in hotel. Seminggu lepas itu, dia putus. Lepas putus dengan lelaki itu, dia kerap keluar dengan ramai lelaki Afrika Selatan.

Saya mengangguk dan beri senyuman lebar kepada si otak yang sedang rancak bercerita, senyuman buat-buat tentunya. Sebenarnya saya kalau boleh tak nak ingat cerita-cerita dengan ex-girlfriend saya ini.

Dia kata ex-girlfriend saya itu tak pandai guna otak, tak tahu mana nak fikir lebih dan mana nak fikir kurang. Itu memang benar, saya akui sangat-sangat.

Dia ingatkan perkara yang sangat berguna untuk saya, tentang fungsi otak. Guna otak untuk perkara yang penting, elak guna untuk fikir perkara yang tak penting. Awalnya saya kurang jelas. Dia cuba jelaskan lebih terperinci. Fikir perkara yang bermanfaat untuk difikir, abaikan perkara yang tak bermanfaat, letakkan fokus di tempat yang betul, baru la tak overthink. Bernas juga apa yang dia kata, tapi saya pelik kenapa dia beriitagu semua ini.

Otak kata lagi tentang fokus, bila fokus benda baik maka kehidupan juga jadi baik. Dia tak berhenti-henti bercakap, tak sangka otak pun tahu membebel. Dia kata, ex-girlfriend saya tu zalim dan tak tahu cara betul gunakan otak. Ketika hidupnya, dia suka letakkan fikiran di tempat yang salah, dan hidupnya mula jadi cacamarba. Berfikir juga ada tempatnya, dia ingatkan saya tentang itu beberapa kali.

Saya tawarkan dia minuman, tapi saya kata sini tak ada minuman beralkohol. Dia kata dia nak air suam je, alkohol tak baik untuk otak, boleh buat lupa banyak benda. Dia masih tak henti bercakap ketika saya bangun ke dapur, dan kemudian saya putar pemain vinyl Ella, kegemaran ex-girlfriend saya dulu.

Lagu Sembilu dimainkan, sayup bercampur bunyi hujan. Otak senyap dan amati bait-bait lagu Ella, dia sedang termenung jauh. Saya boleh rasa dia marah dengan sesuatu. Dia iyakan bila saya tanya, dan menarik nafas dalam-dalam. Katanya memang dia tengah marah dengan ex-girlfiend saya itu. Saya agak faham sebenarnya dan berkata saya setuju dengannya, memang ex-girlfriend saya itu ada masalah untuk pakai otak dengan betul. Dia memang tak tahu apa yang nak kena fikir dan apa yang tak perlu fikir.

Dia tanya saya sama ada saya tahu pakai otak atau tidak, saya jawab saya pun sebenarnya sedang di luar kawalan untuk buat perkara yang patut saya fikir atau saya elak. Saya ceritakan kepadanya, ketika dia datang mengetuk pintu, saya bukannya tak dengar, tapi saya lambat sebab kemaskan semula rumah, tali sudah tergantung di kipas dan kerusi sudah tersedia untuk saya panjat. Saya mengaku bahawa saya sedang menggunakan otak di tempat yang tak betul. Dia mengangguk faham.

Otak beritahu, dalam memorinya dia dapat satu visual tentang ini, tentang saya yang sebenarnya masih tak boleh move on selepas kami berpisah. Lagi-lagi lepas cerita ex-girlfriend saya yang tak henti-henti bertukar kekasih Afrika Selatan, saya makin sedih. Hari ni saya putuskan untuk gantung diri, tapi tak sangka pula otak ex-girlfriend datang selamatkan saya.

Saya rasa ralat pula sebab sekadar sajikan dia air suam.

 


Pengarang :