AGENDAJENAYAH

Cegah seludup dadah di sempadan negara, polis tahan lebih 1,000 individu

KOTA BHARU, 17 APRIL: Polis menahan 1,072 individu yang menjalankan pelbagai kesalahan dadah dalam operasi bersepadu sempadan bagi tempoh 1 April hingga semalam di seluruh Kelantan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata kesemua yang ditahan berumur di antara 17 hingga 59 tahun terdiri daripada 1,051 lelaki dan 21 wanita termasuk empat penjawat awam.

Beliau berkata operasi bersepadu berkenaan bertujuan bagi mengekang penyeludupan dan penyalahgunaan dadah dari negara jiran melalui sempadan ke negara ini.

Menurutnya tumpuan operasi adalah di kawasan sasaran yang dikenal pasti iaitu di kawasan aktif atau sarang penagih dadah yang menjalankan kegiatan sedemikian.

“Kesemua mereka disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas)1985 dan Akta Racun 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, pelbagai dadah dirampas dalam operasi berkenaan yang dianggarkan bernilai RM242,193.

“Antaranya yang dirampas adalah pil kuda seberat 1,121.23 gram (g), heroin seberat 62.29 g, ganja seberat 130.5 g, syabu seberat 1.17 g serta pil psiktropik seberat 333.07 g,” katanya.

Muhamad Zaki berkata jumlah dadah yang dirampas ini dianggarkan boleh digunakan untuk seramai 15,863 penagih dadah.

Selain itu, pelbagai harta turut disita terdiri daripada kenderaan dan wang dalam akaun yang dianggarkan bernilai RM42,338 dan kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta)1988.

Beliau berkata polis Kelantan akan terus membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri ini dan mengharapkan masyarakat membantu dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti berkenaan.

“Orang ramai boleh menghubungi Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di talian 012-2087222 dan Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di talian 09-7455555,” katanya.

— BERNAMA


Pengarang :