BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBPJ tawar rebat cukai taksiran kepada pemilik kediaman mesra alam

SHAH ALAM, 18 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menawarkan skim rebat cukai taksiran kepada pemilik kediaman yang mengamalkan gaya hidup mesra alam dan mampan.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memaklumkan permohonan dibuka sehingga 24 Jun depan menerusi borang yang boleh dimuat naik menerusi laman web rasmi MBPJ.

“Antara kriteria dinilai adalah pemilik rumah mengamalkan kitar semula sisa sampah, tenaga solar, penggunaan kereta elektrik, penyimpanan air hujan dan sistem biodiversiti.

“Borang permohonan boleh dihantar menerusi serahan tangan atau email ke [email protected] atau menerusi pos ke alamat MBPJ,” katanya menerusi poster di Facebook.

Menurut PBT itu rebat yang ditawarkan adalah 100 peratus cukai taksiran atau RM500 mengikut yang mana lebih rendah dengan syarat pemilik tidak mempunyai tunggakan cukai taksiran.

Untuk maklumat lanjut hubungi urusetia di talian 03-7954 1440 atau layari laman sesawang dan laman sosial rasmi MBPJ.

Skim yang mula diperkenal pada 2011 itu bertujuan mempromosi gaya hidup penduduk ke arah mesra alam hijau sekali gus menjadikan Petaling Jaya bandar raya hijau berkarbon rendah.

MBPJ menjadi PBT pertama di Asia melaksanakan skim rebat cukai taksiran tersebut dan usaha itu menerima anugerah Green Apple Award oleh The Green Organisation London pada 2013.


Pengarang :