AGENDANASIONAL

Jabatan Penjara: Tiada banduan dijangkiti Covid-19

KUALA LUMPUR, 5 APRIL: Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan tiada kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan penghuni dan banduan sejak pandemik itu menular di seluruh negara.

Bagaimanapun, langkah sewajarnya sentiasa dilaksanakan bagi mencegah penularan wabak itu di penjara termasuk menjalankan pemeriksaan kesihatan kakitangan bertugas.

“Selain itu, setiap banduan yang (baru) diterima akan dikuarantin untuk tujuan pemeriksaan kesihatan bagi mengelakkan penyakit berjangkit dibawa masuk ke dalam penjara.

“Sekiranya terdapat banduan yang mempunyai simptom seperti yang boleh diklasifikasi sebagai pembawa wabak Covid-19, pihak penjara menyediakan blok pengasingan dan pusat kuarantin bagi mengasingkan serta mencegah wabak itu tersebar dalam kalangan banduan lain,” menurut kenyataan Jabatan Penjara Malaysia hari ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan beberapa inisiatif dilaksanakan termasuk melakukan sanitasi di seluruh kawasan penjara bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Jelas kenyataan itu, keluarga dan pihak terlibat perlu memberikan sepenuh kerjasama serta kepercayaan kepada Jabatan Penjara untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai peneraju perkhidmatan korektif.

“Diharap dengan berkat usaha dan doa yang berterusan, negara kita akan bebas daripada pandemik Covid-19 ini dengan segera,” tambah kenyataan itu.

Hari ini, tular di media sosial yang mendakwa terdapat kakitangan dan dua banduan di Penjara Kajang dijangkiti Covid-19 serta banduan lain tidak dibenarkan menghubungi keluarga mereka.

-BERNAMA


Pengarang :