BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Hospital UPM abadi nama DYMM Sultan Sharafuddin

Sempena Hari Keputeraan ke-75 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember 2020

OLEH NURUL FARINA NAZLAN

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sentiasa menitikberatkan perkembangan pendidikan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menjadi canselor sejak 1 April 2002, baginda mahu universiti itu meningkatkan keupayaaan dan menggunakan teknologi pertanian pintar dengan tumpuan kepada jaminan bekalan makanan.

Mengikut naib canselor UPM, Sultan Sharafuddin menyarankan mereka untuk meningkatkan keupayaan bekalan makanan dengan bekerjasama dengan industri terlibat.

“Tuanku bertitah supaya UPM memfokus isu makanan bukan sahaja dalam menghadapi pandemik Covid-19,” kata Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman kepada SelangorKini.

Justeru, UPM sentiasa berusaha menyediakan sumber makanan terutama beras. Pada masa ini, universiti tersebut berjaya menghasilkan PadiU Putra. Melalui PadiU Putra, hasil padi ditingkatkan 10 tan metrik sehektar.

Beliau percaya penekanan baginda itu bertujuan supaya UPM terus mengekalkan prestasi sebagai universiti yang menjadi sumber rujukan utama pihak industri dalam bidang pertanian. Seterusnya, UPM mampu menjana produktiviti dalam sektor pengeluaran makanan.

“Baginda mahu jaminan bekalan makanan diberi keutamaan dalam membantu kerajaan menghadapi sebarang kemungkinan membabitkan bencana. Ia termasuk penyediaan dana penyelidikan juga pelaburan dalam teknologi sedia ada. Itu memang UPM usahakan,” katanya.

Malah, Sultan Sharafuddin memberi sokongan penuh terhadap usaha UPM untuk menjadi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Kebangsaan dan Antarabangsa (pusat sekuriti makanan). Hasilnya, UPM mempunyai Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan.

Baginda juga mahu kemajuan UPM dalam bidang pertanian bukannya sekadar mengekalkan status quo sebaliknya memberi manfaat besar kepada masyarakat.

Selain itu, Sultan Selangor juga mahu mahasiswa bukan sekadar menguasai aspek akademik tetapi turut memiliki sahsiah diri dan nilai kepimpinan.

Selama 18 tahun sebagai canselor, baginda tidak putus-putus memberi nasihat supaya UPM melengkapkan mahasiswa menjadi individu bertanggungjawab, beradab, beramanah dan menjunjung tatacara kehidupan insaniah.

Baginda juga prihatin dalam aspek kebajikan. Setiap tahun, baginda mencemar duli berbuka puasa dan bersolat tarawih bersama warga UPM selain turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar asnaf.

Pengurusan universiti juga sentiasa memaklumkan perkembangan dan pencapaian kepada baginda yang turut menyampaikan buah cadangan kepada UPM.

“Boleh dikatakan setiap tahun lebih daripada lima kali kita mengadap tuanku, memberi penerangan mengenai perkembangan terkini di UPM. Kita juga menerima nasihat bukan hanya ketika kita mengadap baginda tetapi pada majlis yang tuanku hadir mencemar duli.

“Tuanku sangat mudah berbicara, boleh dikatakan lemah lembut tetapi titah baginda ada isi kandungnya yang memerlukan tindakan. Baginda sentiasa mengingatkan bahawa kami satu-satunya universiti di Malaysia yang berfokuskan pertanian,” katanya.

Abadi nama

Hospital Pengajar UPM (HPUPM) yang baru beroperasi sejak Oktober 2019 mengabadikan nama Sultan Sharafuddin atas sumbangan baginda kepada universiti itu. Penubuhan HPUPM dilihat dapat meningkatkan peluang untuk pelaksanaan kerja penyelidikan dan pembangunan dalam bidang perubatan selain memberi tambah nilai kepada UPM sebagai pengeluar pakar perubatan terbaik.

HPUPM dibina pada 2014 di kawasan seluas 30.4 hektar bersebelahan Hospital Serdang membabitkan kos RM600 juta yang dilengkapi 400 katil. Hospital itu mempunyai tujuh kepakaran utama iaitu zoonotiks, barah, penjagaan angin ahmar, kesihatan lelaki, penjagaan geriatrik, kecederaan sukan dan atroskopi serta penyakit kulit dan imunologi.

“Ini adalah hasrat kami dan sebagai penghargaan warga UPM kepada baginda. Kami sudah mempersembahkan kepada tuanku berhubung hasrat ini dan baginda sudah memberi perkenan,” katanya.

UPM turut menamakan Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC) sempena nama baginda. SISFEC yang dirasmikan Sultan Sharafuddin pada 2012 bertujuan mengurus dan menjalankan aktiviti berunsurkan pendidikan, penyelidikan dan pengembangan perhutanan.

Ia terletak di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong, satu-satunya hutan dipterokarp pamah yang masih wujud di Lembah Klang. Hutan jenis ini ada pada ketinggian 300 meter dari paras laut dan mempunyai pelbagai jenis pokok dengan bilangan yang padat termasuk spesies utamanya iaitu balau, meranti serta kapur.

Selain itu, Sultan Sharafuddin juga ber-kenan memberi nama tabung khas yang diwujudkan UPM bagi membantu warganya terutama pelajar asnaf. Pemilihan nama itu dalam penelitian.

Baginda sentiasa menekankan aspek kebajikan pelajar, malah turut menyempurnakan Dana Wakaf Ilmu pada 16 Ogos 2011 yang diwujudkan bagi pembiayaan pendidikan termasuk biasiswa kepada pelajar asasi sains pertanian, diploma, sarjana muda, biasiswa khas OKU dan dermasiswa.

Sultan Sharafuddin sentiasa menggesa alumni universiti itu kembali menyumbang bakti bagi membantu UPM sebagai hab ilmu.

“Saya yakin titah baginda ini kerana persekitaran di luar berbeza dengan di dalam yang boleh dikongsikan dengan pelajar berhubung apa yang perlu mereka tingkatkan sebelum keluar ke pasaran,” kata Dr Mohd Roslan.

Pengurusan UPM juga menganggap mereka bertuah kerana universiti itu terletak di Selangor dan baginda berkenan menjadi canselor sekali gus membantu menyumbang idea dalam pembangunan universiti.

“Sesungguhnya memang tidak terkata dan tidak tersebut sumbangan tuanku kepada UPM sejak menjadi canselor.

“Warga UPM amat menghargai sumbangan yang diberikan tuanku kepada kami daripada segi perkembangan universiti ini bukan sahaja pada peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa,” katanya.


Pengarang :