Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Saipolyazan M.Yusop bercakap kepada media selepas Program agihan persekolahan asnaf fakir, miskin dan mualaf bagi sesi 2021 di Bangunan Zakat Selangor, Shah Alam pada 16 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS seru lebih ramai tunai tanggungjawab, bantu asnaf

SHAH ALAM, 17 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyeru lebih ramai umat Islam menunaikan zakat bagi membantu golongan asnaf yang dijangka bertambah tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan Md Yusop berkata peningkatan berlaku susulan pandemik Covid-19 yang berlarutan sepanjang tahun ini.

“Bila sebut Selangor, orang kata kita mempunyai jumlah kutipan zakat paling banyak, tetapi pada masa sama kita juga mempunyai bilangan asnaf paling ramai untuk dibantu.

“Malah 60 peratus asnaf fakir di negeri ini terdiri daripada miskin bandar, dan mereka terjejas teruk akibat Covid-19. Oleh itu, saya menyeru kepada semua umat Islam supaya tunailah zakat agar kita dapat membantu golongan kurang mampu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Agihan Bantuan Persekolahan Sesi 2021 di Bangunan LZS, di sini, semalam.

Sebelum ini, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid berkata jumlah kutipan zakat tahun depan dijangka menyusut sekali gus memberi kesan kepada peruntukan golongan asnaf.

Jelasnya, penyusutan berlaku kerana banyak perniagaan mengalami kerugian dan individu dihentikan kerja akibat pandemik Covid- 19.


Pengarang :