Anggota polis dibantu tentera melakukan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19 di Jalan Ampang pada 1 April 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

80 peratus polis Selangor dikerah pantau PKPD

SHAH ALAM, 2 JULAI: Sebanyak 80 peratus daripada hampir 14,000 anggota polis di Selangor akan terbabit dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lebih 30 mukim mulai esok.

Ketua polis Selangor berkata antara penugasan yang dilakukan adalah menempatkan anggota di sekatan jalan raya (SRJ), pasukan pemantau di beberapa lokasi bagi memastikan tiada aktiviti merentas dan pemeriksaan di kawasan perkilangan.

“Secara keseluruhan kita ada hampir 14,000 keanggotaan dan kita akan gunakan sekurang-kurangnya 80 peratus kekuatan yang ada ini untuk tujuan operasi Covid-19.

“Kita mempunyai 140 SJR secara kekal dan sekatan secara mobil dengan bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Malah kita juga menjalankan pemeriksaan di mana-mana laluan dalam tempoh sejam ke dua jam bagi mengekang aktiviti merentas,” kata Datuk Arjunaidi Mohamed.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Bual Bicara PKPD di Selangor: Yang Perlu Anda Tahu’ yang disiarkan secara langsung di Media Selangor.

Arjunaidi dalam pada itu mengakui pihaknya berdepan cabaran susulan terdapat 34 mukim yang dikenakan PKPD dan 21 mukim lagi masih dikenakan PKP.

“Ada yang bertanya adakah polis akan letakkan kawat duri, kalau nak letak di kawasan PKPD ianya tidak mencukupi jadi apa yang boleh kita lakukan adalah meletakkan SJR di laluan kebiasaan orang ramai merentas,” katanya.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan PKPD akan dilaksana di 34 mukim di lapan daerah Selangor selama 14 hari bermula esok dan dijadual berakhir 16 Julai.


Pengarang :