SHAH ALAM, 22 JUN: Siri Jelajah Selangor Penyayang yang memperkenal pelbagai inisiatif untuk rakyat bakal diteruskan di Dataran Pantai Morib Kuala Langat Sabtu ini.
Mendapat sambutan menggalakkan di Taman Kosas, Ampang pada Ahad, program anjuran Kerajaan Negeri seterusnya dijadual berlangsung di Stadium Utama Kuala Selangor, 2 Julai.
Pada 16 Julai, acara berkenaan akan dijalankan di Dataran Boulevard, Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya diikuti Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 31 Julai.
Pelbagai acara diatur dalam program bermula 7.30 pagi hingga 5.30 petang antaranya persembahan artis, senamrobik, pertandingan memasak, gubahan bunga, sukan rakyat, papan selaju dan e-sukan.
Inisiatif itu dijayakan menerusi peruntukan RM350 juta, menggantikan Inisiatif Peduli Rakyat supaya lebih ramai memperoleh manfaat disediakan Kerajaan Negeri.
Antaranya Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membantu hingga 30,000 keluarga berbanding 25,000 keluarga sebelum ini.
Turut dilaksana, program Selangor Saring untuk mengesan penyakit kronik dengan perbelanjaan RM1.5 juta yang memanfaatkan 5,000 orang terutama golongan berisiko.