BERITA UTAMASELANGOR

Beza persempadanan semula sebelum dan selepas 2008

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 JAN: Persempadanan semula kawasan pilihan raya, sebelum 2008 menyaksikan pengundi majoriti Melayu dipecahkan ekoran kecenderungan kaum itu memilih pembangkang, berbanding kaum lain.

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, pendekatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagaimanapun berubah selepas itu dengan menyaksikan kawasan campuran pula dipecahkan dalam persempadanan semula.

“Apabila langkah itu dibuat, kawasan bercampur inilah yang banyak dimenangi pembangkang atau jika di Selangor, ini adalah parti pemerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Demokrasi: “Persempadanan Kawasan Pilihan Raya Untuk Mengekalkan Kemenangan BN: Dimana Hak Pengundi”, di Auditorium IDE, semalam.

Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL) itu berkata, pola sokongan pengundi sejak 2008 berubah dengan menyaksikan kemerosotan mendadak sokongan kepada BN, di kawasan campuran.

Katanya, kawasan majoriti Melayu yang sebelum ini berpontensi besar dimenangi pembangkang bertukar menjadi kawasan yang pengundinya cenderung memilih BN, selepas 2008.

“Antara contoh yang boleh dilihat membabitkan Dewan Negeri Sri Andalas diwakili Dr Xavier Jayakumar.

“Beliau menang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan majoriti 15,000 tetapi apabila berlaku persempadanan semula, kawasan yang paling ramai pengundi India hilang menyaksikan peningkatan pengundi Melayu pula sehingga 74 peratus,” katanya.


Pengarang :