SUKANKINI

Isu Stadium Shah Alam: Penyokong harap Kerajaan Negeri, FAS berdamai

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 1 FEB: Badan Bertindak Penyokong Selangor (BBPS) berharap penyelesaian dapat dicapai antara Kerajaan Negeri dan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) demi kebaikan bola sepak Selangor.

Wakil BBPS dan Presiden Anak Selangor Fans Club (ASFC), Mohd Faizal Wahid berkata, penyelesaiaan itu sewajarnya menjadi kepentingan kedua-dua pihak supaya masalah dihadapi kini tidak berpanjangan.

“Kita berpuas hati dengan hasil perbincangan bersama Exco Sukan, Amirudin Shari, dan mendapat maklumat berkaitan isu dibangkitkan.

Kita akan memaklumkan kepada FAS dan berharap satu langkah perdamaian akan berlaku antara Kerajaan Negeri dan FAS,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Mohd Faizal berkata demikian selepas BBPS mengadakan pertemuan dengan Amirudin dan penyerahan memorandum kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berhubung masalah penggunaan Stadium Shah Alam membabitkan pasukan Selangor dalam Liga Malaysia.

Beliau seterusnya menjelaskan, BBPS akan mengadakan pertemuan dengan FAS esok bagi membincangkan perkara itu.

“Kita juga berharap pejabat Dato’ Menteri Besar akan memberikan kenyataan rasmi berhubung isu ini,” katanya.

Seorang lagi wakil BBPS, Shah Rafi Ihsham Shah berkata, pihaknya mengharapkan respon positif daripada pejabat Dato’ Menteri Besar berhubung perkara itu.

Katanya, ini kerana isu berkaitan adalah atas kehendak keseluruhan penyokong bola sepak di Selangor.

=EZY=


Pengarang :