GLOBAL

Tempoh mencari mangsa, kotak hitam kedua Lion Air dilanjut

JAKARTA 4 NOV : Pihak berkuasa Indonesia hari ini membuat keputusan melanjutkan tempoh mencari mangsa dan kotak hitam kedua dari lokasi nahas pesawat Lion Air yang terhempas minggu lalu.

“Kami memutuskan melanjutkan tempoh pencarian tiga hari lagi bermula esok, kata ketua agensi mencari dan menyelamat (BASARNAS), Muhammad Syaugi dalam satu sidang media.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian dan pemerhatian di lokasi nahas serta menyedari masih banyak mayat mangsa yang belum ditemui.

Sehingga hari ini, sejumlah 105 beg, dengan sebilangan kecil mengandungi mayat yang masih sempurna sudah ditemui dan diserahkan kepada polis untuk proses pengenalan identiti namun hanya tujuh mangsa berjaya dikenal pasti.

“Saya pasti jumlah itu akan meningkat,” kata Syaugi.

Fokus utama BASARNAS ketika ini adalah untuk mencari baki mayat mangsa dan perakam suara kokpot (CVR) atau kota hitam kedua dari bangkai pesawat Boeing 737 Max terhempas di Laut Jawa awal pagi Isnin lalu, 13 minit selepas meninggalkan Jakarta.

Penyelam pada ketika ini bergantung pada isyarat ping untuk mencari kotak hitam kedua, serentak dengan usaha penyiasat memperoleh data dari kotak hitam pertama yang ditemui Khamis lalu.

“Isyarat yang diperoleh pengesan ping itu telah digunakan sebaiknya namun kumpulan penyelam masih belum menemui kotak hitam kedua itu,” katanya.

SUMBER: REUTERS

 


Pengarang :