Ng Sze Han (kiri) dan Datuk Abdul Rashid Asari (dua, kanan) melepaskan peserta Larian Ketam 2019, di jeti Pelabuhan Klang, hari ini. Foto NADIAH ZAMLUS/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

500 sertai acara Larian Ketam 2019

PULAU KETAM, 25 OGOS: Acara Larian Ketam 2019 (Ketam Walk) yang julung kalinya diadakan menerima sambutan menggalakkan dengan disertai kira-kira 500 peserta dari seluruh Selangor, hari ini.

Peserta berkumpul seawal 6 pagi di Jeti Pelabuhan Klang dan kemudian dikehendaki berjalan sejauh empat kilometer bermula dari Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Ketam.

Tambah menarik apabila acara itu turut disertai pelbagai lapisan masyarakat, termasuk kanak-kanak dan warga emas.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, ekoran sambutan menggalakkan, Kerajaan Selangor melalui portfolionya akan mencadangkan supaya acara berkenaan dijadikan program tahunan negeri.

“Tujuan program ini juga bagi membolehkan orang ramai mengetahui dengan lebih mendalam berhubung Pulau Ketam. Saya yakin walaupun kita duduk di Selangor tetapi masih ramai yang belum berpeluang datang ke sini.

“Justeru, melalui acara sebegini lebih ramai yang kenal Pulau Ketam dan kita boleh jadikannya sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

Hadir sama, EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.


Pengarang :