AGENDANASIONAL

Dr Mahathir lawat Vietnam esok

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Tun Dr Mahathir Mohamad akan melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Vietnam mulai esok, yang juga lawatan pertama beliau sejak memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia ke-7.

Kenyataan Wisma Putra hari ini menyebut lawatan rasmi terakhir Dr Mahathir ke Vietnam adalah pada 1996.

Menurut kenyataan itu, perdana menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc, di samping membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan kepada kedua-dua negara.

Dr Mahathir juga akan menghadiri majlis pertemuan dengan diaspora Malaysia serta bertemu dengan syarikat Malaysia yang melabur di Vietnam.

“Vietnam adalah rakan kongsi yang penting kepada Malaysia. Lawatan itu akan memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk mempertingkatkan hubungan dua hala yang sedia terjalin, serta memperkukuhkan lagi komitmen yang digariskan dalam Rangka Rakan Perkongsian Strategik, yang ditandatangani pada Ogos 2015.

“Hubungan dagangan dan pelaburan Malaysia-Vietnam amat teguh. Pada 2018, nilai dagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam berjumlah US$13.3 bilion, menjadikan Malaysia rakan dagang ke-8 terbesar Vietnam,” jelas kenyataan itu.

Wisma Putra berkata, bagi suku pertama 2019, dagangan dua hala meningkat 1.18 peratus kepada dolar AS $4.27 bilion, berbanding tempoh sama pada 2018.

Sehingga kini, Malaysia adalah pelabur asing ke-8 terbesar di Vietnam, dengan jumlah pelaburan bernilai dolar AS $12.48 bilion sehingga penghujung 2018.

Semasa lawatan itu, Dr Mahathir akan diiringi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, selain pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

-BERNAMA


Pengarang :