Yew Wei Liang, dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang pada 22 Ogos 2019 untuk hadapi pertuduhan membunuh Syed Muhammad Danial Syed Shakir.
BERITA UTAMA

Pekerja IT didakwa bunuh Syed Muhammad Danial

KAJANG, 22 OGOS: Seorang pekerja di bahagian teknologi maklumat dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh Syed Muhammad Danial Syed Shakir dalam kejadian langgar baru-baru ini.

Menurut Bernama, Yew Wei Liang, 41, yang memakai baju T dan seluar hitam hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Pengakuan tidak direkodkan daripada lelaki itu kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Syed Muhammad Danial, 29, di Kilometer 293.6 di Lebuh Raya Utara-Selatan (Kuala Lumpur-Seremban) di sini antara jam 1 dan jam 2 petang, 10 Ogos lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 September depan sebagai sebutan semula kes.

Tetuduh tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 9 pagi dibawa dari Penjara Sungai Buloh dengan memakai baju kemeja T berwarna hitam.

Syed Muhammad Danial, 29, meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan kecil berhampiran Plaza Tol Sungai Besi menghala arah selatan.

Sebelum tragedi itu, kereta Syed Muhammad Danial dikatakan melanggar bahagian belakang kereta tertuduh menyebabkan kedua-dua lelaki itu bersaing di lebuh raya sebelum mereka berhenti berhampiran persimpangan Bandar Baru Bangi.

Tertuduh dan mangsa kemudian bergaduh menyebabkan Syed Muhammad Danial kemudian dikatakan mati dilanggar kereta tertuduh.


Pengarang :