Seoul mencatat peningkatan dalam kes-kes jenayah ke atas ibu atau bapa dan nenek atau datuk. Foto Facebook Seoul, Korea
AGENDAGLOBAL

Seoul diramal hilang status bandaraya mega

SEOUL, 17 SEPT: Seoul menjadi semakin kecil dan berusia dari segi populasi sekali gus mungkin tidak lagi menjadi sebuah bandaraya mega dengan lebih 10 juta penduduk, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap memetik kenyataan kerajaan ibu kota itu pada Selasa.

Menurut kerajaan, jumlah penduduk ibu kota itu ialah 10,049,607 setakat akhir tahun lepas, termasuk 283,984 warga asing.

Angka itu diramal merosot di bawah 10 juta pada akhir tahun atau pada suku pertama tahun depan berdasarkan purata bersih jumlah orang yang berpindah keluar iaitu lebih 80,000 setiap tahun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, Seoul menjadi sebuah masyarakat berusia buat pertama kali tahun lepas apabila jumlah yang berumur 65 tahun atau lebih ialah 1,410,297 atau 14.4 peratus penduduknya.

Menurut klasifikasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, “masyarakat menua” menyaksikan golongan berusia mewakili lebih tujuh peratus penduduk manakala “masyarakat berusia” menyaksikan apabila golongan itu mewakili lebih 14 peratus dan “masyarakat super tua” ialah apabila mereka menyumbang lebih 20 peratus.

“Seoul menjadi masyarakat menua pada 2005 dan dijangka menjadi masyarakat super tua pada 2026,” kata Lee Won Mok, seorang pegawai yang bertanggungjawab bagi dasar bandar pintar.

– BERNAMA


Pengarang :