Pemandangan udara menunjukkan depot kereta api shinkansen di Nagano ditenggelami air pada 13 Oktober 2019, sehari selepas Taufan Hagibis melanda timur dan tengah Jepun. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Malaysia zahir takziah kepada Jepun ekoran Taufan Hagibis

PUTRAJAYA, 14 OKT: Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah menzahirkan simpati dan takziah kepada Kerajaan Jepun dan rakyatnya, terutama mereka yang kehilangan insan tersayang dan terjejas akibat Taufan Hagibis.

Saifuddin dalam kenyataan hari ini berkata, beliau yakin bahawa kerja-kerja bantuan kemanusiaan yang sedang berjalan di kawasan bencana dapat memudahkan proses pemulihan di kawasan terjejas.

“Malaysia berdiri teguh bersama Jepun dalam tempoh sukar ini,” katanya.

Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 35 orang meninggal dunia dan 17 lagi hilang setakat semalam selepas Taufan Hagibis membadai Jepun termasuk kawasan kota metropolitan Tokyo.

Taufan itu turut menyebabkan beberapa sungai melimpah dan 376,000 rumah terputus bekalan elektrik.

– BERNAMA


Pengarang :