Selangorkini
EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

Elak penindasan, bangkit perjuang hak asasi OKU

SERDANG, 14 DIS: Masyarakat diingatkan supaya mengelak sebarang bentuk penindasan terhadap Orang Kurang Upaya (OKU), sebaliknya bangkit memperjuangkan hak asasi golongan itu demi kepentingan sejagat.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, perhatian adil wajar diberi supaya kelompok minoriti itu mampu berdikari.

Beliau berkata, pihaknya berhasrat mengangkat model kerajaan memberdaya OKU memandangkan isu golongan itu bukan semata-mata membabitkan aspek kebajikan sahaja.

“Pemberdayaan ini baik daripada aspek kesihatan, pendidikan, undang-undang, peluang kerjaya dan kemudahan infrastruktur yang selesa supaya akhirnya mereka boleh hidup secara berdikari.

“Malah, keadilan dalam menyantuni kelompok ini juga sememangnya sejajar dengan dasar kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) yang mengangkat agenda Rahmatan lil alamin (rahmat untuk semua) sebagai teras pentadbiran,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama ketika merasmikan Persidangan OKU Selangor 2019 bertemakan ‘OKU Berdaya Penggerak Negara’ di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Tindakan OKU Selangor (MTOS), Fahda Nur Ahmad Kamar dan Timbalan Pengerusi MTOS merangkap Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UNISEL, Prof Madya Dr Hamdan Mohd Salleh.

Kumpulan Penari Orkids (Our Kids Are Special) membuat persembahan ketika Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Pemberdayaan OKU Negeri Selangor 2019 di MAEPS, Serdang pada 14 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada masa sama, Siti Mariah turut menggesa pengamal media untuk membantu menggerakkan agenda pengarusperdanaan OKU secara bersepadu, selain menyebar luas kefahaman berkenaan hak golongan terbabit.

Beliau berkata, masyarakat harus dimaklumkan bahawa golongan berkenaan berhak mendapat peluang pendidikan, ruang sosial dan tidak dipisahkan daripada aktiviti kemasyarakatan.

“Media massa boleh bertindak dengan menyeru masyarakat memberikan sumbangan kepada golongan OKU yang memerlukan bantuan sama ada dari segi kewangan mahupun tenaga sukarelawan.

“Mereka (media massa) perlu bekerjasama dengan masyarakat di peringkat akar umbi bagi menerangkan kecacatan bukan penghalang dalam memberikan sumbangan bermakna kepada produktiviti dan kemajuan negara.

“Banyak individu cemerlang sudah berjaya meningkatkan nama baik negara dalam sukan contohnya, walaupun mereka mempunyai kecacatan dari aspek fizikal,” katanya.


Pengarang :