Mohamad Sabu bergambar pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kembali Ke Sekolah, Sumbangan Perayaan Krismas dan Penyerahan Geran Tahunan kepada Ketua Kampung dan Ketua Komuniti India di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Raja pada 31 Disember 2019.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Parlimen Kota Raja bakal buka Pasar Peduli Rakyat bantu B40

KLANG, 31 DIS: Bagi meringankan kos sara hidup golongan B40, Parlimen Kota Raja mengambil inisiatif menganjurkan Pasar Peduli Rakyat yang bakal beroperasi di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen itu pada akhir Januari depan.

Ahli Parlimennya, Mohamad Sabu berkata, pasar itu dijangka beroperasi pada minggu keempat pada setiap bulan dan menyasarkan golongan B40 sekitar Parlimen Kota Raja membeli barang asas untuk keperluan mereka.

Katanya, untuk permulaan, pihaknya bercadang menjual lapan jenis barangan iaitu beras, minyak masak, ayam, telur, susu, sardin, bawang dan kentang.

“Kita akan memanggil mana-mana peniaga terpilih yang memang menjual barangan itu untuk berniaga di pasar terbabit.

“Menariknya, kita jamin harga yang akan dijual di pasar ini lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya yang juga Menteri Pertahanan.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kembali Ke Sekolah oleh Persatuan Kebajikan Amal Wanita Selangor, Sumbangan Perayaan Krismas oleh Kasih Malaysia dan Penyerahan Geran Tahunan kepada Ketua Kampung dan Ketua Komuniti India di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kota Raja di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning, V Ganabatirau, ADN Sentosa G Gunaraj dan ADN Sungai Kandis Zawawi Mughni.

Pada majlis sama, Mohamad turut menyerahkan sumbangan RM100 kepada 50 penerima Kembali Ke Sekolah dan wang tunai RM100 kepada 50 penerima bantuan perayaan Krismas.

Manakala, beliau turut menyerahkan geran tahunan kepada 10 ketua kampung dan lima ketua komuniti India dengan masing-masing menerima peruntukan RM10,000 setahun beserta komputer riba.

Mohamad berkata, beliau optimis dengan sumbangan itu akan dapat membantu meringankan beban rakyat dan ketua kampung pula diharap dapat menjalankan tugas sebaik mungkin menerusi peruntukan yang diberikan.

“InsyaAllah tahun depan ekonomi negara semakin baik dan peruntukan sumbangan mungkin akan dapat ditingkatkan lagi,” katanya.


Pengarang :