Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MAPIM desak PBB halang AS lancar perang ke atas Iran

SHAH ALAM, 14 JAN: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menghalang Amerika Syarikat (AS) daripada melancarkan perang ke atas Iran.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata PBB perlu bersidang segera bagi menyelesaikan ketegangan kedua-dua buah negara itu menerusi undang-undang antarabangsa.

Katanya AS tidak wajar mencampuri konflik di rantau Asia Barat sebaliknya kuasa besar itu digesa menarik keluar tenteranya dari Iran tanpa sebarang syarat.

“Konflik boleh mengakibatkan jutaan rakyat terbunuh, cedera dan terusir dari tanah air sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, PBB turut didesak membatalkan serta-merta sekatan yang dikenakan AS ke atas Iran.

“AS juga perlu dibawa ke mahkamah jenayah antarabangsa untuk didakwa kerana melancarkan jenayah perang ke atas Iran,” katanya.

Bagi menunjukkan sokongan ke atas Iran, MAPIM bercadang menghantar delegasi ke negara itu untuk membantu rakyatnya.

Ketegangan kedua-dua negara tersebut meningkat minggu lepas susulan serangan udara dilancarkan AS meragut nyawa Qassem Soleimani, komander tertinggi tentera elit Kor Pengawal Revolusi Islam Iran berhampiran lapangan terbang Baghdad di Iraq.


Pengarang :