Selangorkini
Dato’ Seri Amirudin Shari bersama menikmati kemudahan Bas Smart Selangor. Foto Instagram Amirudin Shari
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

MB: Tambah laluan Bas Smart Selangor untuk manfaat rakyat

SHAH ALAM, 17 FEB: Kerajaan Negeri akan meningkatkan mutu perkhidmatan Bas Smart Selangor termasuk menambah laluan untuk kemudahan penduduk, kata Dato’ Menteri Besar.

Memanfaatkan 38 juta penumpang sehingga Ogos 2019, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata setakat ini terdapat 41 laluan di 11 kawasan pihak berkuasa tempatan.

“Inisiatif yang pertama di Malaysia ini dicontohi negeri lain dan memudahkan rakyat bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain dengan kos minimum,” katanya melalui hantaran di Instagram hari ini.

Sementara itu, warga maya @mucheterz di ruangan komen berkata khidmat bas percuma membantu orang ramai dalam kehidupan seharian.

@wana_samah pula berkata Kerajaan Negeri komited memberikan yang terbaik kepada rakyat dengan menyediakan bas percuma dan berharap perkhidmatannya terus dipertingkat.

Bas Smart Selangor yang juga Inisiatif Peduli Rakyat dijenamakan di bawah pendtadbiran mantan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.


Pengarang :