AGENDAJENAYAH

Putera Arab Saudi `kebal’ enggan tandatangan keterangan SPRM – Saksi

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Putera Arab Saudi Putera Saud Abdul Aziz Malik Abdul Aziz tidak menandatangani sendiri keterangan baginda kepada SPRM yang dirakam di Riyadh, Arab Saudi kerana baginda “kebal”.

Keterangan baginda itu didakwa berhubung empat keping surat berkaitan derma RM2.6 bilion daripada keluarga diraja Saudi kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLFOP) SPRM, Penolong Kanan Pesuruhjaya Fikri Ab Rahim berkata pihaknya juga tidak dapat menemu ramah Putera Saud Abdul Aziz secara terus tetapi melalui seorang peguam yang dilantik putera itu, Muhammad Abdullah Al Koman.

“Al Koman turut menandatangani keterangan Putera Saud Abdul Aziz bagi pihak baginda,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh peguam yang mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd yang memasuki hari ke-87 hari ini.

Menceritakan semula kejadian pada 29 November 2015 itu, Fikri berkata sejurus tiba di istana milik keluarga diraja Saudi itu, mereka telah diperkenalkan kepada tiga orang putera Arab iaitu Putera Faisal, Putera Turki dan Putera Saud Abdul Aziz.

“Sebelum keterangan mereka diambil, mereka telah bersetuju untuk mengeluarkan pasport mereka tetapi kami tidak dibenarkan untuk membuat salinan fotokopi kerana Putera Turki memaklumkan mereka mempunyai kekebalan.

“Pihak SPRM juga tidak boleh sewenang-wenangnya berada berdekatan dengan putera-putera Raja Arab Saudi kerana protokol diraja mereka,” kata saksi pembelaan ke-12 itu.

Semasa pemeriksaan semula oleh Muhammad Shafee, Fikri berkata sewaktu di Riyadh, pihaknya turut mengambil keterangan Eric Tan Kim Loong yang didakwa sebagai sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low bagi membantu siasatan kes.

“Eric Tan kelihatan sudah biasa dengan keadaan istana itu dan boleh bercakap secara terus dengan ketiga-tiga putera Saudi itu. Berlainan dengan kami (pihak SPRM) yang agak berjaga-jaga dan risau sewaktu berada di dalam istana.

“Peguam Datuk Selva Mookiah bertindak bagi pihak Eric Tan. Kami mempunyai kesepakatan di mana anak guamnya tidak akan ditangkap pihak berkuasa sekiranya beliau (Eric Tan) memberikan kerjasama kepada pihak SPRM,” katanya.

Fikri berkata, kesepakatan sama ini turut diberikan kepada dua lagi individu yang mempunyai kaitan dengan SRC International iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas Pengarahnya, Datuk Suboh Md Yassin.

Najib, 67, kini membela diri terhadap tujuh tuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, yang terdiri daripada tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan berhubung dengan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

– BERNAMA


Pengarang :