Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim. Foto: Hafiz
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 400 mohon sertai sidang DNS maya, pertimbang anjur pusingan kedua

SHAH ALAM, 26 OGOS: Program Ahli Dewan Negeri Muda Selangor Virtual 2020 mendapat sambutan luar jangkaan apabila 415 permohonan diterima setakat ini, kata speaker Dewan Negeri Selangor (DNS).

Ng Suee Lim berkata minat untuk menyertai sidang DNS secara maya menunjukkan negara memiliki ramai anak muda yang berpotensi menjadi pemimpin hebat pada masa depan.

“Bakat anak muda perlu sentiasa digilap kerana mereka adalah generasi pelapis dan peneraju kepada kemajuan serta pembangunan negara, ini kita hasratkan.

“Selaras dengan kelulusan had umur mengundi kepada 18 tahun, kita berpandangan mereka wajar diberi pendedahan awal peranan dan fungsi Ahli Dewan Negeri (ADN) yang akan membantu golongan tersebut membuat keputusan pada pilihan raya nanti,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Suee Lim berkata memandangkan ramai pemohon, pihaknya mempertimbangkan untuk menganjurkan pusingan kedua sidang DNS secara maya.

“Selangor mempunyai 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi bilangan permohonan melebihi 400, jadi kita pertimbangkan anjur pusingan kedua sidang DNS,” katanya.

Selangor menjadi negeri pertama menganjur sidang DNS secara maya khusus untuk golongan muda termasuk pelajar sekolah seawal umur 15 hingga 35 tahun.

Permohonan boleh dibuat menerusi :
http://bit.ly/ADNMudaSelangorVirtual‬ portal dewan.selangor.gov.my atau di Facebook, Instagram dan Twitter: @PAMSVirtual hingga 4 September.


Pengarang :