BUDAYARENCANA

Tipu daya filem ‘wira’ kulit putih

Oleh Mohamed Nazreen Shahul Hamid

PADA Jun 2020, saat dunia dikejutkan dengan pembunuhan tragis George Floyd, filem Hollywood The Help (2011) jadi karya paling kerap ditonton di Netflix – respon masyarakat dunia untuk memahami isu-isu rasisme di Amerika Syarikat. Di Malaysia, penyokong gerakan Black Lives Matter (BLM) di Twitter turut mencadangkan filem tersebut dan beberapa lagi seperti “Hidden Figures” (2016) dan “Green Book” (2018) untuk ditonton sebagai tanda sokongan terhadap golongan kulit hitam Amerika. Namun, tanpa mereka sedari filem-filem ini mempunyai kiasan filem (cinema trope) atau arketaip wira kulit putih (White saviour) dalam naratif yang disampaikan kepada khalayak.

Wira kulit putih adalah kiasan filem yang merujuk kepada watak-watak golongan kulit putih menyelamatkan watak-watak kulit berwarna, iaitu kulit hitam, Asia, Latin dan sebagainya daripada keadaan malang. Kiasan ini dihadirkan dalam pelbagai genre filem Hollywood, iaitu protagonis kulit putih digambarkan sebagai “tokoh Messiah” yang sering belajar sesuatu tentang dirinya semasa menyelamatkan watak-watak kulit berwarna. Watak wira kulit putih sering digambarkan sebagai seorang lelaki yang terasing dalam masyarakatnya sendiri, sehingga terpaksa memikul beban dalam usaha kepimpinan kaum, dan menyelamatkan golongan minoriti daripada penderitaan. Filem-filem wira kulit putih digambarkan sebagai khayalan psikologi golongan kulit putih yang sangat banggakan diri dan narsisistik.

Selain itu, filem wira kulit putih sering didasarkan kepada beberapa kisah yang kononnya benar. Ia mesti menampilkan kumpulan orang kulit berwarna mengalami konflik perjuangan dengan orang lain yang sangat berbahaya sehingga mengancam kehidupan mereka. Kemudian, watak kulit putih akan masuk ke dalam lingkungan permasalahan tersebut dengan pengorbanan besar untuk melakukan perubahan sebagai guru, mentor, wartawan, peguam, dan lain-lain lagi. Pada akhir cerita mereka sama ada berjaya menyelamatkan orang kulit berwarna secara fizikal atau sekurang-kurangnya menebus moral mereka ke arah lebih baik.

Diadaptasi dari novel Kathryn Stockett, The Help berada dalam kategori filem wira kulit putih bersama-sama Driving Miss Daisy, Hidden Figures, Green Book dan lain-lain. Umumnya, filem-filem ini wujud untuk menenangkan golongan kulit putih dari isu perkauman. Dalam erti kata lain, ia digunakan sebagai ejen eskapisme bagi menutup perkara yang benar-benar berlaku. Dengan naratif wira kulit putih, isu-isu rasis dalam filem The Help diteroka melalui lensa watak protagonis berkulit putih bernama Eugenia Skecter lakonan Emma Stone. Manakala watak sampingan dalam filem tersebut ialah dua orang gaji berkulit hitam, iaitu Aibileen Clark dan Minny Jackson, masing-masing dilakonkan Viola Davis dan Octavia Spencer.

Ironinya, The Help sebenarnya bermaksud kumpulan orang gaji kulit hitam yang terpaksa hidup di bawah garis kemiskinan dengan rasisme melampau di Amerika pada tahun 1970- an. Namun, sebaliknya ia mengangkat watak kulit putih sebagai wira dalam menyelesaikan masalah tersebut. Aibileen dan Minny yang berkulit hitam dan bekerja sebagai orang gaji sekadar dijadikan watak sampingan. Sepanjang jalan cerita, kedua-duanya sentiasa bergantung harap kepada Skecter, seorang wartawan untuk membebaskan mereka daripada cengkaman rasisme. Dan Skecter mampu melakukannya kerana dia adalah seorang kulit putih yang terasing (outsider) dalam golongannya sendiri, bencikan rasisme dan mahu rakyat Amerika berubah.

Namun, semua ini memperlihatkan bangsa kulit hitam tidak mampu berjuang untuk golongannya sendiri, lemah dan memerlukan orang lain – dalam hal ini, orang kulit putih. Tidak hairanlah Viola Davis dalam sesi temu bual baru-baru ini, menyatakan rasa kesal kerana melakonkan watak Aibileen Clark. Baginya, The Help langsung tidak mencitrakan suara sebenar wanita kulit hitam yang sering ditindas. Dengan naratif seperti itu, wujud garis pemisah yang jelas memperlihatkan keadaan orang kulit putih yang ‘baik’ dan ‘jahat’.

Dalam The Help, orang kulit putih ‘jahat’ diperlihatkan melalui layanan buruk terhadap orang-orang gaji mereka. Misalnya, melalui watak Hillary Walters yang mahu undang-undang menetapkan orang gaji kulit hitam haruslah menggunakan tandas luar rumah majikan kerana risaukan jangkitan kuman. Manakala watak orang kulit putih ‘baik’ digambarkan lewat penerimaan orang gaji kulit hitam sebagai sebahagian daripada ahli keluarga mereka – seperti dilakukan Celia Rae yang membawa Minny Jackson tinggal bersama-samanya setelah Minny didera suami.

Semua ini mahu memperlihatkan perbezaan antara orang kulit putih rasis dengan yang tidak rasis. Walhal, ia tidak semudah itu kerana walaupun seorang kulit putih memberi layanan baik terhadap kulit hitam, tidak bermakna dia tidak rasis. Isu rasisme adalah kompleks, tidak boleh dibezakan begitu sahaja. Mereka masih boleh menjadi rasis walaupun sentiasa memberikan layanan baik kepada bangsa kulit hitam.

Naratif wira kulit putih juga kerap memaparkan seorang yang rasis boleh “dirawat” dengan mudah, dengan menemui jalan keinsafan di hujung cerita. The Help menghadirkan watak Charlotte Phelan yang pada awal filem, banyak melakukan perkara rasis, tetapi dengan hanya mengenali seorang kulit hitam, rasisnya ‘diubati’. Dosa-dosa ditebus, dirawat sepenuhnya daripada sikap perkauman. Lebih dramatik, dalam filem Green Book, watak Tony Lip yang disadur dari insan sebenar mengeluarkan kata-kata ini di pengakhiran filem “I’m a real bastard, but I’m not a racist bastard” hanya dengan mengenali seorang kulit hitam, Dr. Don Shirley.

Walhal, dalam hampir keseluruhan filem, dia sentiasa bersikap rasis dengan mengatakan Shirley sudah hilang budayanya kerana meninggalkan perkara-perkara stereotaip kulit hitam, seperti gemar makan ayam goreng dan meminati muzik jazz. Rasisme yang boleh dirawat ini sememangnya tidak munasabah dimasukkan dalam filem. Selainnya, filem Hidden Figures telah memutar-belit kebenaran lewat kisah sekumpulan wanita kulit hitam yang memimpin NASA dalam perlumbaan angkasa dengan Rusia. Dengan sengaja penulis skrip menghadirkan watak fiksyen kulit putih Al Harrison lakonan Kevin Costner bagi menjadi wira untuk Katherine Johnson, seorang ahli matematik kulit hitam. Dialah yang berjaya menghapuskan rasisme di NASA dalam masa singkat dengan membuat papan tanda “White Only” di tandas. Sedangkan, mengikut sejarah sebenar, Katherine langsung tidak diberikan ruang menyaksikan pelancaran roket hanya kerana berkulit hitam, walaupun dia berjaya menemukan pengiraan bagi pendaratan roket tersebut.

Inilah bukti orang kulit putih gemar melihat masalah rasisme di Amerika dari sudut pandang mereka sahaja dan bukannya orang kulit berwarna, terutamanya kulit hitam. Lantaran itu, filem-filem wira kulit putih seperti The Help, Hidden Figures dan Green Book bukanlah sumber terbaik dalam memahami isu rasisme dan gerakan BLM di Amerika. Filem-filem ini dihasilkan golongan kulit putih dengan niat menenteramkan jiwa mereka sendiri – menafikan mereka adalah rasis. Selain itu, dari sudut pandang filem-filem ini juga, mereka mahu terus-menerus mengangkat darjat mereka sebagai wira. Malaysia, sebagai negara yang pernah dijajah bangsa kulit putih, seharusnya tidak terpengaruh dengan tipu daya filem wira kulit putih ini.

Amat membimbangkan sekiranya wujud filem yang memperlihatkan penjajah itu baik. Maka, dicadangkan tontonlah filem seperti Malcom X (1992), Selma (2014), BlacKkKlansman (2018) dan juga drama When They See Us (2019) yang dihasilkan golongan kulit hitam yang menyampaikan kisah perjuangan mereka di Amerika. Malah, di Malaysia kita juga ada novel Dilema Seorang Rasis karya Affifudin Omar yang mengisahkan rasisme di Amerika. Selepas itu, barulah berbicara tentang BLM.


Pengarang :