Orang ramai mematuhi arahan mengenakan pelitup muka selepas kerajaan mewajibkan penggunaannya di tempat awam bagi mengawal penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor zon hijau Covid-19, MB gesa rakyat terus patuh SOP

SHAH ALAM, 16 SEPT: Rakyat diminta terus berdisiplin mengamalkan norma baharu dan tidak memandang ringan ancaman Covid-19 walaupun semua kawasan direkodkan sebagai zon hijau buat pertama kali pada 15 September.

Dato’ Menteri Besar berkata kebajikan masyarakat harus dijaga kerana sedikit kecuaian boleh mengakibatkan penularan jangkitan tempatan berlaku semula.

“Buat seluruh penduduk Selangor, ini bukan bermakna kita boleh bermudah-mudah dengan pengamalan norma baru serta ingkar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Terima kasih kepada petugas kesihatan yang bertungkus lumus ‘merawat’ Selangor. Daripada negeri yang paling terkesan kini kita boleh menarik nafas lega. Jasa serta pengorbanan mereka amat saya hargai dan kagumi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan kejayaan itu dicapai selepas 41 hari berturut-turut mengharungi debaran kes aktif kurang dari lima.

Setakat 15 September, Selangor merekodkan 2,199 kes membabitkan 1,940 kes penularan tempatan dan bakinya 259 kes jangkitan luar negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak 24 kematian direkodkan dengan kesemuanya adalah kes tempatan.

Hulu Langat menjadi daerah paling banyak merekodkan kes iaitu 637 jangkitan, diikuti Petaling (440), Gombak (263), Klang (192), Sepang (168), Hulu Selangor (77), Kuala Selangor (69), Kuala Langat (64) dan Sabak Bernam (30).


Pengarang :