Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 27 Ogos 2020. Foto: BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Covid-19: 260 kes baharu, 13 di Selangor

SHAH ALAM, 1 OKT: Selangor merekodkan 13 kes baharu Covid-19 hari ini dengan sembilan daripadanya membabitkan saringan pulang dari Sabah, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga kini jumlah keseluruhan kes di negeri ini masih dalam keadaan terkawal walaupun kadar kebolehjangkitan meningkat sebanyak 1.9 peratus.

“Perkara penting yang perlu dilakukan ialah kenal pasti lokaliti yang terlibat dengan Covid-19 dan kumpulan sasar bagi membolehkan kerja pembendungan wabak dilakukan.

“Kepatuhan terhadap tatacara operasi piawai (SOP) adalah amat penting pada ketika ini,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata Malaysia merekodkan 260 kes baharu hari ini sekali gus mencatatkan jumlah kes kedua tertinggi selepas 277 kes pada 4 Jun lalu.

Pertambahan itu menjadikan jumlah kes positif Covid-19 dalam  negara ialah 11,484 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 ialah 1,334 kes.

Sementara itu, terdapat 47 kes yang pulih daripada jangkitan Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kumulatif pesakit yang pulih kini 10,014 kes atau 87.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Hanya satu kes import dicatatkan hari ini dan jumlah kematian kekal 136.


Pengarang :