Selangorkini
Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika Majlis Peluncuran Buku 100 Esei Seni & Sastera Era Reformasi 2008-2011 di Institut Darul Ehsan, Shah Alam pada 29 Disember 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Warkah buat Agong minta ihsan benarkan sidang Parlimen – Anwar

SHAH ALAM, 21 JUN: Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bukan sebagai tanda derhaka sebaliknya meminta ihsan dan kebijaksanaan baginda membenarkan sidang Parlimen diadakan dalam tempoh darurat.

Ketua pembangkang berkata pertimbangan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diperlukan kerana hanya sidang itu menjadi ruang untuk ahli parlimen membangkitkan permasalahan dihadapi rakyat.

“Oleh sebab itu bila kerajaan memilih untuk isytiharkan darurat dan menggantung Parlimen, kita merasa bertanggungjawab kerana ia tempat suarakan isu rakyat.

“Apa cara berkesan lain untuk usulkan berhubung peminjam bank, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, masalah dan pinjaman perumahan?

“Kerana ini semua akan dilakukan di depan semua menteri dan memaksa mereka mendengar serta memberi penjelasan tetapi kini darurat diisytiharkan,” katanya ketika siaran langsung menerusi Facebook semalam.

Malah, ahli parlimen Port Dickson menyatakan rasa kecewa apabila pihaknya dianggap derhaka setelah membangkitkan isu darurat.

Beliau berkata, perkara itu menunjukkan kesediaan Pakatan Harapan (PAKATAN) bermuafakat membentuk pentadbiran lebih stabil dan menjaga kepentingan rakyat sekali gus mengatasi politik kepartian yang terbatas.

“Kita menegakkan keperluan adanya parlimen oleh kerana keluhan rakyat boleh dibahaskan, bangkitkan keterlanjuran kerajaan, kelemahan menangani Covid-19 dan memastikan supaya prinsip tatakelola yang baik dilaksanakan.

“Kami tidak mahu kerajaan gunakan peluang darurat ini tanpa membuat semak dan imbang serta mereka boleh lakukan sewenang-wenangnya,” katanya.


Pengarang :